fbpx

Pavitra individu pertama dipilih Ikon Bandaraya Ipoh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin (kiri) menyampaikan cenderahati kepada pasangan youtuber, Sugu Pavitra di Ipoh hari ini.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin (kiri) menyampaikan cenderahati kepada pasangan youtuber, Sugu Pavitra di Ipoh hari ini.

Oleh SHAARANI ISMAIL

IPOH – Youtuber sensasi masakan, Sugu Pavitra, 28, diangkat sebagai individu pertama yang dipilih sebagai Ikon Bandaraya Ipoh oleh Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin, berkata pengiktirafan S. Pavitra sebagai ikon adalah sebagai menghargai dan mengiktiraf kejayaannya sebagai ikon yang sedang menonjak naik dalam saluran YouTube yang berasal dari Ipoh.

Katanya, sebagai anak kelahiran Buntong Ipoh, MBI ingin memberikan pengiktirafan dan penghargaan atas usahanya yang kini cukup dikenali dan mempunyai lebih 700,000 pengikut dalam YouTube.

“Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pun sudah beri pengiktirafan kepada Pavitra dan kita harap beliau akan terus berjaya dalam bidang diceburi,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Rumaizi berkata, MBI sedang mengumpul senarai calon Ikon Bandaraya Ipoh dan mensasarkan 100 individu untuk disenarai sebagai ikon berkenaan.

Katanya, ikon berkenaan dianugerahkan kepada sesiapa sahaja yang memberikan sumbangan dan menunjukkan kejayaan cemerlang dalam mengharumkan nama bandar raya Ipoh.

“Buat masa ini seramai 10 individu dari pelbagai bidang dan latar belakang sudah dikenalpasti.

“Ia membabitkan semua anak bandar raya yang lahir dan memberikan sumbangan dari pelbagai latar belakang termasuk usahawan, penjawat awam, tokoh agama dan beberapa bidang lain,” katanya.

Katanya, MBI merancang untuk memberi dan menyampaikan anugerah ikon berkenaan pada sambutan Hari Bandaraya Ipoh pada tahun hadapan.

Rumaizi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Ikon Bandaraya Ipoh berkata, penerima Ikon Bandaraya Ipoh tidak semestinya terdiri daripada individu yang masih hidup, sebaliknya ia juga boleh diberikan kepada mereka yang sudah meninggal dunia tetapi banyak menabur jasa terhadap pembangunan Ipoh sejak ia dibuka pada 1887 sehingga kini.

Sementara itu, Pavitra berkata, dia sangat bersyukur dan berterima kasih atas penghargaan dan pengiktirafan yang diberikan MBI atas kejayaannya sebagai seorang Youtuber.

“Terima kasih kepada semua yang banyak menyokong dan memberikan semangat atas usaha yang saya lakukan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN