RANTAU PANJANG – Dua buah keluarga terpaksa berpindah sendiri ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Tok Deh di sini selepas kawasan rumah mereka mula ditenggelami air.
Limpahan air Sungai Golok yang sudah melepasi paras bahaya ketika ini iaitu 9.4 meter turut menyebabkan beberapa kawasan rendah mula dinaiki air.
Tindakan dua keluarga itu mendapat pujian dari Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohamad Roy Suhaimi Sharif yang menyifatkan ia sebagai langkah bijak.
Menurutnya, tindakan itu sememangnya dialu-alukan tanpa menunggu arahan dari pasukan penyelamat.
“Meskipun air hanya berada dibawah rumah, namun mereka ambil langkah awal dengan berpindah.
“Tak perlu tunggu air mencecah 9.8 meter untuk berpindah. Seeloknya masuk sahaja sembilan meter terus buat persediaan untuk berpindah ke PPS,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Mohamad Roy Suhaimi berkata, penduduk Rantau Panjang dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan paras terkini air Sungai Golok.
“Saya bimbang jika penduduk lewat berpindah berkemungkinan mereka akan berdepan masalah.
“Hal ini kerana, jumlah penempatan di PPS dihadkan bagi memutuskan rantaian Covid-19,” ujarnya.
Sementara itu, portal infobanjir.water.gov.my setakat pukul 1 petang tadi menunjukkan bacaan air Sungai Golok berapa pada 9.4 meter sekaligus sudah melepasi paras bahaya. – K! ONLINE














