PETALING JAYA – Berita baik buat pemilik kenderaan lama yang masih kukuh dan utuh untuk dipandu di jalan raya, mereka boleh menukar dan mengubah suai kenderaan tersebut menjadi kenderaan elektrik (EV).
Melalui kajian mendalam yang dijalankan oleh NanoMalaysia Berhad (NanoMalaysia) dengan pensijilan yang dianugerahkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), kenderaan lama itu bakal berwajah baharu dengan dikuasakan sebagai EV.
Ketua Pegawai Eksekutif NanoMalaysia Berhad (NanoMalaysia), Dr. Rezal Khairi Ahmad berkata, ini adalah trend yang telah dilaksanakan di negara barat dan beliau optimis projek ini bakal mendapat sambutan menggalakkan di pasaran tempatan.
Sehubungan itu, NanoMalaysia telah bekerjasama dengan beberapa pihak termasuk JPJ untuk merealisasikan projek unik itu.

“Kami akan beri nafas baharu kepada kenderaan lama dan dalam masa yang sama, kami dapat mengurangkan jumlah kereta tersadai (pastinya ia boleh memberi kesan kepada alam sekitar).
“Dalam masa yang sama, ia dapat memberi peluang kepada mereka yang tidak berkemampuan untuk memiliki EV baharu tetapi sebaliknya dapat memakai EV yang dinaik taraf hasil kajian tempatan,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini baru-baru ini.
Rezal Khairi menerangkan, JPJ akan melegalisasikan penukaran tersebut dan ia bakal dilaksanakan separuh pertama tahun depan.
Tambah beliau, agensi tersebut akan mengeluarkan peraturan terperinci untuk melaksanakan proses penukaran tersebut selain melantik bengkel-bengkel yang dibenarkan untuk terbabit dalam usaha berkenaan.
Jelasnya, prosedur utama untuk membuat penukaran tersebut hanya dibenarkan oleh JPJ tertakluk kepada kuasa enjin, saiz dan aspek keselamatan kenderaan tersebut.
Rezal Khairi tidak menolak kemungkinan kos untuk menukar kenderaan lama kepada EV adalah dalam sekitar RM30,000. -KOSMO! ONLINE














