fbpx
SEJAK bernikah, MK berasakan kehidupannya memasuk fasa menjadi lelaki sebenar.

MK tak bermegah tayang bahagia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TAKAT didih populariti lelaki dengan jenama MK K-Clique itu tidak pernah menurun. Graf kesetiaan peminat terhadap penyanyi yang memulakan kerjaya seni sejak 2014 itu bahkan semakin naik sejak mendirikan rumah tangga pada Jun lalu.

Biar baharu enam bulan bergelar suami, kehadiran suri hati Siti Hajaar Syeikh Nordin, 26, dirasakan benar-benar menjadi pelengkap kehidupan dan penyuntik semangat dalam kerjayanya.

SEJAK berkahwin pada Jun, MK mengakui isterinya kini lebih popular berbanding dirinya, bahkan kerap ditawarkan kerjasama sebagai wajah kempen jenama produk. – FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR

Faham jiwa Hawa

Mengakui lebih bertanggungjawab dan matang, pemilik nama lengkap Muhammad Hairi Amin Hamdan itu berharap terus mampu melayari fasa perkahwinan dengan harmoni.

“Kehidupan saya sebelum ini memang dikelilingi ramai wanita kerana saya mempunyai enam orang kakak. Dengan adanya mereka, saya rasa sudah cukup memahami golongan Hawa.

“Namun apabila memasuki alam perkahwinan, saya semakin mengerti perasaan serta emosi mereka, sekali gus membuatkan saya lebih menghargai ibu dan adik-beradik.

“Mungkin selama ini saya ambil mudah perkara yang dianggap kecil, tetapi baru kini saya sedar perasaan seorang wanita itu halus. Cukup sekadar kita tunjuk sikap prihatin, mereka sudah gembira,” kata anak ketujuh daripada lapan bersaudara itu.

DILIHAT terbuka berkongsi momen bahagia bersama isteri dalam media sosial, MK mengambil pendekatan positif dan menyifatkan perihal sebegitu tidak salah jika mampu memberikan inspirasi buat pasangan lain.

Isteri suri teladan

Aura isteri yang menunjukkan teladan dari segi percakapan dan pemakaian juga membuatkan dirinya lebih peka soal pemilihan gaya, terutama apabila membabitkan acara rasmi. Isteri juga membuatkan MK semakin tahu apa itu batas pergaulan.

Ditanya mengenai romantika bersama isteri yang menjadi perhatian ramai pula, selebriti berusia 27 tahun itu tersenyum malu.

Katanya, dia bukan mahu menunjuk-nunjuk, tetapi sekadar berkongsi momen gembira.

“Jika kegembiraan kita boleh menyuntik inspirasi kepada pasangan lain, saya rasa tidak salah berkongsi perkara itu dalam media sosial kerana tafsiran kebahagiaan setiap orang berbeza-beza.

“Bahagia kami adalah apabila berpeluang menikmati masa berkualiti bersama-sama biarpun ketika saya sibuk memenuhi komitmen kerja, kami tetap curi-curi masa keluar berdua sekejap.

“Tetapi apa yang saya tunjukkan dalam media sosial pun ada had sebab saya kena jaga privasi isteri memandangkan dia bukan artis, dia masih perlukan ruang peribadi,” tambahnya.

Pada masa sama, MK mengakui populariti Siti Hajaar kini melebihi dirinya apabila peminat lebih mahu bergambar dengan si isteri saat berada di tempat umum.

Kebelakangan ini juga, banyak jenama produk turut berminat menjalin kerjasama bersama peneman hidupnya itu.

“Saya tumpang gembira apabila isteri mendapat perhatian, khususnya golongan wanita yang menyukai keperibadian dan gaya pemakaiannya.

“Kalau jadi contoh untuk perkara positif memang tidak mengapa, begitu juga untuk bergelar duta produk. Saya beri lampu hijau. Kalau benda baik saya tiada halangan.

“Cuma untuk berlakon, kita tengok dulu macam mana sebab setahu saya minat Siti Hajaar bukan ke arah itu. Setakat model iklan, dia tiada masalah.
“Kami ada berbincang soal ini dan dia ada luahkan, kalau nak berlakon drama atau filem pun, biarlah bergandingan dengan saya,” ujarnya.

Selain teruja berkongsi haluan bahagia, penyanyi yang turut ligat dalam arena lakonan itu juga menzahirkan rasa syukur apabila peminat memberi sepenuh sokongan terhadap lakonannya.

Terbaharu MK digandingkan dengan aktres Ezzanie Jasny dalam drama bersiri slot Akasia berjudul I Love You, Stupid (ILYS) yang bersiaran sejak pertengahan bulan lalu.

MK mengakui menjadi lebih bertanggungjawab dan matang selepas melayari fasa perkahwinan.

Jadi pegawai polis

Watak sebagai pegawai polis bernama Inspektor Firman Ebrahim dalam naskhah berkenaan dirasakan cukup mencabar. Namun dibesarkan dalam keluarga anggota beruniform menjadikan MK tidak kekok menggalas peranan tersebut.

“Saya sangat bersyukur kerana diajukan tawaran berlakon dalam drama cinta yang terselit pelbagai konflik ini.

“Saya bukanlah hebat dalam lakonan tapi jenis orang yang suka ambil cabaran dan gemar mencuba bidang baharu tambahan pula motif saya berlakon bukan saja-saja.

“Macam dalam drama terbitan Global Station ini, saya bawa watak polis yang bukan sesuatu perkara sukar kerana bapa saya juga anggota keselamatan, begitu juga sepupu serta bapa saudara yang bertugas sebagai bomba dan kastam.

“Cuma mungkin pembawaan orang bercinta saya kena lebihkan sebab dalam drama tersebut ada penonton komen muka saya nampak garang sangat,” kongsinya.

Diusik bidang kerjaya pilihan sekiranya tidak bergelar penggiat seni, MK atau dipanggil Hairi mendedahkan dia mungkin serius sebagai pemain bola sepak profesional.

“Semasa zaman sekolah, saya aktif bermain bola sepak mewakili Sabah bawah 12, 15, dan 17 tahun tetapi terus beralih minat ke bidang seni selepas masuk universiti.

“Rasanya kalau tak menyanyi atau berlakon mungkin saya terus aktif main bola sepak dengan mana-mana kelab, tapi rezeki saya sekarang dalam bidang ini,” katanya menutup bicara.

MK kini bergandingan dengan aktres Ezzanie Jasny dalam drama bersiri slot Akasia berjudul I Love You, Stupid (ILYS) yang bersiaran sejak pertengahan bulan lalu.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN