PETALING JAYA – Kawasan pantai timur dan barat Sarawak akan dilanda cuaca lebih buruk bermula minggu ini hingga Januari depan ekoran berlaku tempoh kemuncak Monsun Timur Laut (MTL) yang membawa bersama taburan hujan luar biasa.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi, Muhammad Helmi Abdullah berkata, situasi itu bakal melanda Kelantan, Terengganu, Pahang serta beberapa kawasan di Sarawak seperti Kuching, Kota Samarahan, Serian, Sri Aman, Betong, Sarikei dan Mukah.
“Saban tahun keadaan itu akan berterusan hingga Mac 2024 tetapi kemuncaknya ialah pada Disember hingga Januari.
“Ia disebabkan intensiti hujan yang meningkat kerana disokong oleh sistem tekanan tinggi dari China dan benua Siberia. Setiap negeri akan mengalami intensiti berbeza mungkin 300 milimeter (mm) sehari,” katanya kepada Kosmo! ketika ditemui di pejabatnya di sini baru-baru ini.
Menurut Muhammad Helmi, dalam tempoh MTL kali ini, empat hingga enam episod hujan lebat yang signifikan dijangka berlaku dan boleh mengakibatkan banjir dalam tempoh tiga bulan akan datang.
Tambahnya, Perak dan Selangor telah menerima taburan hujan yang tinggi ketika tempoh peralihan monsun hingga membentuk banjir kilat disebabkan ribut petir dari petang hingga awal malam.

“Awal November lalu, negeri di pantai barat turut menerima taburan hujan tinggi tetapi bukan disebabkan luruan monsun,” katanya.
Ujar Muhammad Helmi, berdasarkan klimatologi atau data-data lepas, biasanya episod hujan lebat bermula di sebelah utara diikuti pantai timur, Pahang dan Johor.
Bagaimanapun, Muhammad Helmi menambah, susunan negeri boleh berubah bergantung keadaan semasa dan corak tiupan angin.
Bercerita lanjut, beliau memaklumkan setakat Khamis lalu, kadar hujan tertinggi direkodkan sepanjang MTL tahun ini adalah pada 20 November melibatkan Kuala Terengganu, Terengganu dengan catatan 385.4mm.
“Ia merupakan kedua tertinggi sepanjang tahun ini, dan paling tinggi direkodkan pada 6 Februari di Kuantan, Pahang dengan kadar 401.6 mm,” jelasnya.
Sehubungan itu, Muhammad Helmi berkata, pihaknya mengingatkan orang ramai untuk elak melakukan aktiviti di laut mahupun sungai sepanjang musim MTL.
“Sepanjang MTL ini bukan sahaja hujan lebat, malah disertai ribut petir, angin kencang dan laut bergelora.
“Keadaan jadi bahaya untuk aktiviti luar dengan kemungkinan berlaku kejadian kepala air adalah tinggi,” katanya.














