ALOR SETAR – Tiada apa yang diharapkan daripada seorang bekas mak nyah selain kembali menjalani kehidupan normal dan terus istiqamah agar segala dosa-dosa lampau diampuni Tuhan.
Muhamad Asrul Abdu Kadir, 38, berkata, bagi mendekatkan dirinya dengan Tuhan, dia kini lebih selesa memilih kerjaya sebagai pembuat batu nisan dan keranda di rumahnya di Kampung Kastam di sini.
“Saya harap Tuhan terima taubat ini. Saya pilih untuk hidup dikelilingi batu nisan supaya terus istiqamah. Saya sama sekali tidak mahu kembali ke jalan itu lagi, penuh dosa dan maksiat.
“Batu nisan dan keranda yang saya buat ini mengingatkan saya tentang mati,” katanya yang lebih dikenali sebagai Jun ketika masih aktif bergelar mak nyah.

Bercerita lanjut, Muhamad Asrul mengakui, dia terjebak dengan dunia mak nyah selama 15 tahun setelah berhijrah ke Kuala Lumpur untuk mencari kerja.
“Malangnya saya tidak dapat kerja dan hanya tidur di jalanan dan jambatan dekat Dataran Merdeka itulah saya berjumpa dengan mak nyah lain yang bekerja sebagai gadis lorong.
“Akibatnya, saya terjebak dan bergelumang dengan dosa serta maksiat. Dapat duit memang banyak iaitu RM4,000 hingga RM5,000 sebulan, tetapi hidup saya tidak pernah tenang selain selalu dikejar pihak berkuasa dan gengster,” katanya.
Menurut beliau, kesedarannya untuk kembali ke pangkal jalan bermula setelah melihat rakan-rakan mak nyah meninggal dunia dalam keadaan mengejut termasuk ketika melakukan pekerjaan ‘kotor’ mereka.
“Ada yang diserang sakit jantung di atas pentas ketika buat persembahan. Semua itu buat saya rasa takut. Bagaimana jika pengakhiran saya juga macam itu?” katanya.
Tambahnya, selepas ibu dan adiknya meninggal dunia pada 2016 dan 2018, barulah dia nekad untuk pulang ke Kedah dan melupakan dunia persundalan.
“Mak meninggal dunia kerana jangkitan kuman dalam paru-paru dan adik akibat kanser. Kehilangan mereka amat memberi kesan dalam hidup saya. Saya jadi insaf dan berjanji untuk bertaubat sepenuhnya,” katanya.
Lelaki ini yang lebih selesa hidup membujang memberitahu, dia membuka kedai membuat batu nisan dan keranda di rumah sewa yang didiaminya sejak tahun 2018.
“Saya sebenarnya pernah mempelajari cara-cara membuat batu nisan dan keranda ini ketika habis sekolah rendah. Pada usia 13 tahun, saya sudah bekerja. Saya memang lembut sejak dari kecil dan kerana takut dibuli, saya buat keputusan untuk berhenti sekolah,” tambahnya.
















