fbpx

K2

Estetik gaya kontras dan ceria

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Warna putih yang diserikan dengan keceriaan warna hijau dan kuning membangkitkan suasana tersendiri dalam kediaman.

PENGGUNAAN warna kontras mampu membangkitkan mood serta nilai estetika sesuatu hiasan dalaman.

Gabungan warna natural seperti putih dan warna terang misalnya warna kuning dan hijau mampu menambahkan ciri dinamik pada ruang.

Bagi seorang pemilik kediaman di Indonesia, Eva Nur Anisa, penggunaan warna kontra dipilih sebagai tema kediaman jenis kluster berukuran 90 meter persegi di Sukabumi, Jawa Barat.

“Sejujurnya, rumah saya tidak ada tema khusus mengikut standard hiasan dalaman. Saya cuma sukakan warna-warna ceria kerana ia memiliki nilai estetik tersendiri.

“Kebanyakan ruang dinding saya dicatkan dengan warna putih agar unsur-unsur warna terang boleh diselitkan menerusi perabot dan perhiasan,” katanya ketika dihubungi K2.

Diinspirasikan daripada suasana kerjayanya sebagai guru tadika, Eva Nur Anisa memilih warna kuning dan hijau sebagai tema utama ruang tamunya.

Hiasan dinding disusun dalam ruang berbentuk separa bulat berwarna kuning terang sekali gus memberikan penambahan dimensi pada dinding putih.

Selain itu, memilih warna hijau pada wall batten di bahagian bawah menyerlahkan lagi unsur kontra pada ruang berkenaan.

Bagi melengkapkan suasana, wanita berusia 35 tahun itu memilih perabot dan perhiasan yang senada dengan warna dinding pilihannya.

“Sebagai guru tadika, saya sudah terbiasa dengan suasana ceria dan saya bawa inspirasi itu di rumah.

“Lagi pula, saya ada dua anak perempuan kecil. Jadi, saya sengaja hias ruang tamu dengan suasana ceria.

Kombinasi warna hijau dan kuning terang serta warna natural mencetuskan gaya kontras yang memukau.

“Sekarang, bukan saja anak-anak saya suka. Bahkan, tetamu yang datang juga suka merakam foto di ruang tamu,” jelasnya.

Selain ruang tamu, suasana kontra turut diterapkan di dua ruang bilik serta ruang dapur kediaman miliknya.

Di ruang dapur, warna kuning keemasan diselitkan pada bahagian langsir dan lampu hiasan, manakala warna hijau diterjemahkan pada bahagian tumbuh-tumbuhan.

Pada bahagian bilik pula, suntikan hijau berbeza tona diserlahkan pada sebahagian warna dinding, battern wall serta perhiasan tumbuh-tumbuhan.

Sementara itu, warna kuning dapat dilihat pada perincian bunga matahari dan lampu tidur.

Tambahnya, pemilihan warna kontra tidak memerlukan bajet yang besar, namun mampu memberikan pernyataan kepada sesiapa sahaja yang memandangnya.

Ujarnya lagi, kebanyakan perhiasan seperti wall batten dibuat sendiri menggunakan plywood dan kayu jati belanda.

“Kebanyakan inspirasi hiasan dalaman saya diambil daripada media sosial seperti Pinterest, Google dan Instagram.

“Saya menghabiskan masa dua tahun untuk melengkapkan konsep ini kerana ia dilakukan secara berperingkat.

“Saya juga cepat bosan. Jadi, saya gemar menukar hiasan dalaman sama ada dengan mengalih perabot atau cat baharu,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI