TANGAN pereka kraf tangan itu ligat mengacau serbuk sagu yang dibancuh dengan air panas sehingga ia menjadi likat dan jernih.
Di hadapannya, satu pemidang sutera saring bercorak geometri diletakkan di atas sehelai fabrik kapas berwarna putih.
Bahan campuran sagu yang kini sudah menjadi linut itu kemudiannya dimasukkan ke dalam pemidang sutera saring.
Setelah itu, ketulan linut diratakan dengan satu kali tarikan dan satu kali tolakan menggunakan sekeping papan kecil yang dipanggil sekuji.
Teknik tersebut membolehkan linut menembusi lubang pada bahagian skrin sutera saring, lalu membentuk imej di atas kain putih itu.
Kemudian, pemidang diangkat secara perlahan-lahan dan corak geometri linut yang terhasil dikeringkan dengan menggunakan pengering rambut.
Demonstrasi yang dipersembahkan oleh pereka bernama Maisur Johari, 36, itu merupakan salah satu inovasi baharu Kraftangan Malaysia dalam mempelbagaikan cara untuk menghasilkan batik tempatan.
Menurutnya, penggunaan linut sebagai bahan penghalang batik mula diperkenalkan oleh komuniti kraf tangan di Mukah, Sarawak sekitar tahun 2019.
“Linut merupakan makanan paling popular dalam kalangan suku kaum Melanau.
“Sifatnya yang likat itu membolehkan linut dijadikan sebagai pengganti lilin.
“Sama seperti lilin, linut juga akan mengeras apabila kering.
“Jadi, ia sangat sesuai untuk dijadikan bahan penghalang warna dalam penghasilan batik,” ujarnya kepada K2.
Maisur ditemui ketika bertugas memperkenalkan batik tempatan pada Kempen Ini Batik Malaysia di Laman Wau, Kompleks Kraf di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Kempen tersebut dianjurkan oleh Kraftangan Malaysia dalam memastikan masyarakat negara ini mengenali batik sebaiknya.
Pada kempen itu, bahan alternatif yang sebelum ini diinovasi dan diusahakan pada peringkat komuniti, diangkat serta diiktiraf pada peringkat kebangsaan.
Bahan penghalang batik alternatif merupakan hasil cetusan idea dan inovasi Kraftangan Malaysia untuk menyuntik keunikan dan kelainan bagi memartabatkan lagi eksklusif batik tempatan.
Peluang mempelopori usaha mencari bahan alternatif tersebut telah dilakukan di serata negara dan melibatkan komuniti-komuniti kecil.
Ketika ini, seramai 815 pengusaha batik berdaftar dengan Kraftangan Malaysia dan jumlahnya semakin bertambah pada setiap tahun.
Antara ciri-ciri bahan penghalang batik alternatif adalah ia lebih bersifat mesra alam dan tidak toksik kepada kesihatan manusia.

Untuk pengetahuan, lilin daripada petroleum yang biasanya digunakan dalam pembuatan batik secara tradisional membebaskan beberapa bahan kimia.
Antaranya, karsinogenik yang sama seperti bahan api diesel iaitu benzena, toluena, formaldehid dan asetaldehid.
Oleh itu, proses pencairan lilin bersama damar dan minyak linseed sebelum proses mencanting boleh mengakibatkan udara sekeliling tercemar.
Bukan itu sahaja, bahan-bahan alternatif juga bersifat mudah didapati dan lebih murah daripada produk berasaskan lilin.
Selain linut, tanah liat turut diperkenalkan sebagai antara bahan alternatif untuk menjadi pengganti lilin sebagai penghalang warna dalam menghasilkan batik.
Inovasi berasaskan tanah liat diperkenalkan dan diusahakan oleh Kraftangan Cawangan Perak pada tahun 2020 sebagai menyahut usaha kerajaan mempelbagaikan lagi alternatif penghasilan batik tempatan.
Sedang elok, Perak sememangnya terkenal dengan sumber tanah liat terutama lempung bebola (ball clay) dan tanah kaolin yang didapati sesuai untuk penghasilan batik.
Sama seperti linut, penghasilan bahan asas tanah liat untuk dijadikan sebagai bahan penghalang warna batik sangat mudah dan boleh dilakukan orang awam di persekitaran rumah mereka.
Menurut seorang lagi pereka, Nurul Farazura Fuad, 41, campuran sukatan untuk adunan tanah liat dan air perlu dilakukan dengan tepat agar ia memiliki tekstur sesuai untuk penghasilan batik.
“Bancuhan tanah liat terhasil daripada serbuk clay ball, carboxymethyl cellulose (CMC) dan air yang diadun sebati, kemudian ditapis menjadi halus.
“Penggunaan tanah liat sangat mudah kerana tidak memerlukan pembuat batik untuk berhadapan dengan bahang api. Jadi, ia mudah dikendali dan lebih selamat,” katanya.
Untuk pengetahuan, penggunaan kedua-dua bahan alternatif tersebut sesuai dipadankan dengan teknik sutera saring atau teknik terap.
Namun lazimnya, penggunaan linut akan digabungkan dengan teknik sutera saring, manakala penggunaan tanah liat dipadankan dengan teknik terap.
Berbeza juga dengan teknik tradisional iaitu mencanting yang menghasilkan corak abstrak, kedua-dua teknik sutera saring dan terap memberikan corak yang lebih seragam.
Dalam pada itu, seorang lagi pereka, Sri Norhafeeza Abdul Razak, 36, berkata, pembuat batik boleh memilih satu teknik sahaja atau menggabungkan pelbagai teknik dalam satu helai kain.
Penindanan teknik boleh dilakukan selepas proses mewarna dan kering dengan mengulangi langkah-langkah dari awal.
Ujarnya, sama seperti batik lilin, batik alternatif yang sudah dilukis dan dikeringkan akan dimasukkan ke dalam rendaman campuran napthol asol dan soda kaustik.
“Prosesnya sama, setelah direndam pada langkah pertama, kain tadi dialihkan ke rendaman garam berwarna untuk mendapatkan warna diingini.
“Kemudian, kain batik tersebut dibilas dengan air atau direbus bagi menanggalkan bahan penghalang warna tadi dan jemur.
“Proses selesai untuk batik, namun bagi yang mahu melakukan penindanan teknik, mereka boleh lakukan di atas permukaan kain batik yang telah kering tadi,” jelasnya.














