PETALING JAYA – Dengan bayaran serendah RM3,000, pasangan suami isteri terutama golongan susah yang belum memiliki zuriat boleh berusaha mendapatkan anak melalui rawatan IVF atau ‘in vitro fertilisation’ di hospital kerajaan.
Jika di hospital swasta, mereka terpaksa membayar kos rawatan IVF hampir 10 kali ganda yang mencecah RM30,000, sekali gus menyebabkan impian untuk memiliki anak yang sudah lama diidam-idamkan akan terkubur begitu sahaja.
Pengamal Perubatan Am, Seksual dan Reproduktif, Dr. Ahmad Ramdan Zainordin berkata, ramai pasangan masih belum mengetahui hospital kerajaan turut menawarkan rawatan IVF, malah pada harga yang jauh lebih murah berbanding swasta.
Menurutnya, bagi rawatan di hospital kerajaan, kosnya serendah RM3,000 hingga RM5,000 sahaja, manakala hospital separa kerajaan seperti hospital universiti bayaran yang dikenakan masih di bawah RM15,000.
“Hospital kerajaan yang menawarkan IVF seperti Hospital Kuala Lumpur (HKL), Hospital Sultanah Bahiyah di Kedah, Hospital Sultanah Nur Zahirah di Terengganu dan Hospital Likas di Sabah.
“Antara hospital separa kerajaan yang menyediakan rawatan IVF pula termasuklah Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan Pusat Perubatan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM),” katanya kepada Kosmo! semalam.

Dr. Ahmad Ramdan memberitahu, bagi hospital swasta pula, kos rawatan IVF adalah sekitar RM10,000 hingga RM30,000.
Katanya, bagaimanapun, nilai itu masih dianggap murah bagi mereka yang berkemampuan jika dibandingkan dengan beberapa negara lain di Asia yang jauh lebih mahal.
“Sebab itu Malaysia menjadi destinasi popular rawatan IVF di Asia. Jika dibandingkan dengan negara jiran terdekat Singapura, kosnya bermula SG$12,000 (RM41,174).
“Selain itu, kepakaran embriologis dan teknologi yang ada di kebanyakan pusat fertiliti setanding dengan negara maju juga menyebabkan ramai yang selesa mendapatkan rawatan IVF di negara ini,” ujarnya.
Mengulas mengenai kadar kejayaan IVF di negara ini, beliau berkata, berdasarkan data yang dikongsi beberapa pusat rawatan IVF seperti Alpha Fertility Centre, peratus kejayaan pada 2021 adalah sekitar 74 peratus, manakala KL Fertility Centre (80 peratus) tahun lalu.
Ujarnya, kadar kejayaan IVF itu lebih kurang sama seperti di Singapura, tetapi disebabkan kos di Malaysia lagi murah, ramai warga asing terutamanya warga China memilih negara ini.
“Berdasarkan statistik Kementerian Kesihatan (KKM) pula, kadar kejayaan kelahiran melalui rawatan IVF di Malaysia melebihi 30 peratus pada tahun 2018,” katanya.
Menurutnya, rawatan IVF sesuai untuk semua peringkat umur kesuburan atau reproductive age antara 15 hingga 49 tahun.
Bagaimanapun, katanya, peluang kejayaan untuk hamil dengan menggunakan teknik IVF akan semakin berkurangan dengan peningkatan usia.
“Oleh sebab itu, usia optimal untuk menjalani IVF adalah dalam lingkungan 23 hingga 42 tahun.
“Wanita berusia 35 tahun ke bawah mempunyai peluang kehamilan yang lebih tinggi sehingga 35 peratus dengan teknik IVF berbanding wanita yang berusia lebih 35 tahun,” jelasnya.
Beliau memaklumkan, data terkini kadar kesuburan di Malaysia melalui Vital Statistic Malaysia 2022 menunjukkan penurunan yang ketara daripada 6.7 kelahiran untuk setiap wanita pada tahun 1957 kepada 1.7 kelahiran untuk setiap wanita pada tahun 2021.
Katanya, punca penurunan kadar kesuburan ini melibatkan banyak faktor antaranya perkahwinan lewat yang memendekkan tempoh usia subur, faktor kewangan dan masalah ketidaksuburan pasangan disebabkan isu kesihatan.
“Punca ketidaksuburan bagi wanita adalah seperti masalah tiub fallopio tersumbat, endometriosis, Polycystic Ovarian Syndrome (PCOS), kegagalan fungsi ovari atau rizab telur yang rendah.
“Bagi lelaki pula, punca ketidaksuburan yang paling kerap ditemui adalah kuantiti dan kualiti sperma yang rendah berpunca daripada merokok, jangkitan kelamin, kesan haba pada testis, tekanan darah tinggi, obesiti, kolesterol dan kencing manis,” katanya.
Kosmo! pada 9 Julai 2023 lalu melaporkan, tiada kata mampu diungkapkan seorang wanita selain hanya mampu memendam rasa dengan pelbagai gelaran termasuk ‘wanita mandul’ yang diterima hanya kerana belum memperoleh zuriat sekalipun sudah 20 tahun mendirikan rumah tangga. -KOSMO! ONLINE














