KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam usaha mengesan dalang utama sindiket Macau Scam yang menyebabkan seramai 43 rakyat Malaysia menjadi mangsa pemerdagangan manusia di Peru.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya akan menemu bual kesemua mangsa bagi mengesan individu yang merekrut mereka berikutan ini adalah kes pertama pemerdangan manusia direkodkan di Peru.
Jelasnya, mangsa difahamkan berlepas ke Peru melalui jalan yang sah pada 29 September lalu.
“Seramai 43 individu tersebut terdiri daripada 26 wanita dan 17 lelaki yang berusia sehingga 36 tahun. Bagaimanapun, kita akan mendapatkan butiran terperinci daripada Wisma Putra.
“Siasatan akan dijalankan Bahagian Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran D3 (Atipsom) Bukit Aman.
“Sekiranya suspek dapat dikenal pasti, kertas siasatan akan dibuka untuk menentukan pihak atau mediator terlibat, siapa yang rekrut atau bagaimana mereka dibawa,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini, hari ini.
Susulan kejadian itu, beliau telah mengerahkan satu pasukan siasatan khas bagi mengesan sindiket dan mengekang jenayah itu berleluasa.
Dalam pada itu, beliau menasihati orang ramai agar meneliti tawaran kerja di luar negara sebaik mungkin bagi mengelakkan insiden seperti ini daripada berlaku.
Terdahulu Kosmo! melaporkan Kementerian Luar dalam satu kenyataan memaklumkan 43 rakyat Malaysia menjadi mangsa sindiket Macau Scam berjaya diselamatkan polis Republik Peru dalam serbuan di Lima, pada Sabtu lalu.
Katanya, pihak polis Peru telah mengadakan satu serbuan di sebuah rumah di La Molina, Lima di mana kesemua mangsa warganegara Malaysia tersebut telah dikenalpasti dan diselamatkan. -KOSMO! ONLINE.














