BANDAR GAZA – Sekurang-kurangnya 50 rakyat Palestin terkorban apabila tentera Rejim Zionis melancarkan serangan udara ke atas sebuah pasar di kem pelarian Jabalia, utara Gaza, lapor Agensi Berita Anadolu.
Serangan semalam turut menyebabkan 120 orang cedera termasuk ramai yang kritikal. Kawasan di sekitar pasar tersebut turut musnah, demikian menurut beberapa sumber.
Sementara itu, Kementerian Dalam Negeri Gaza berkata, pesawat-pesawat perang Israel menyasarkan sebuah bangunan kediaman milik keluarga Abu Eshkayyan di kem Jabalia, menyebabkan berpuluh-puluh orang terbunuh dan cedera.
Tentera Zionis sebelum itu mengesahkan bahawa pihaknya mengebom lebih 500 sasaran di Gaza dalam serangan sepanjang malam. Serangan itu menyasarkan kumpulan Hamas dan Jihad Islam.
Kementerian sama bagaimanapun menafikan dakwaan Israel dan berkata, tentera Zionis sebenarnya menyasarkan bangunan-bangunan kediaman dan infrastruktur awam termasuk masjid.
Hamas melancarkan serangan besar-besaran ke atas Israel awal pagi Sabtu lalu dengan membedil beribu-ribu roket.
Serangan mengejut itu adalah tindak balas terhadap serbuan Masjid Al-Aqsa di Baitulmuqaddis oleh pasukan keselamatan Israel dan peningkatan keganasan peneroka haram Yahudi terhadap penduduk Palestin.
Tentera Israel kemudian melancarkan ‘Operasi Pedang Besi’ terhadap Hamas di Semenanjung Gaza yang membunuh sekurang-kurangnya 687 rakyat Palestin dan mencederakan sekurang-kurangnya 3,727 yang lain. – AGENSI














