PETALING JAYA – Kalangan ibu bapa mahu agar sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) dijalankan bagi sekolah yang ditutup ekoran jerebu sekali gus memastikan sesi pembelajaran tidak terganggu.
Seorang bapa, Musa Ibrahim, 61, berkata, dia membekalkan anaknya dengan pelitup muka memandangkan kawasan tempat tinggalnya merekodkan bacaan IPU tidak sihat.
“Saya khuatir dengan kesihatan anak kerana dia mempunyai sejarah penyakit asma. Sekiranya keadaan bertambah buruk dan sekolah ditutup, kami berharap pihak sekolah melaksanakan PdPR sehingga keadaan kembali pulih,” katanya.
Cadangan sama turut dipersetujui seorang suri rumah dikenali Nor Hayati, yang memberitahu, PdPR adalah jalan terbaik sekiranya kualiti udara semakin memburuk sehingga memudaratkan kesihatan.
“Sebagai ibu yang mempunyai dua anak di sekolah rendah pastinya saya bimbang dengan kesihatan mereka. Jadi, saya memang berharap kementerian dapat memberi penekanan dalam isu yang membelenggu ketika ini,” ujarnya.
Sementara itu, seorang pekerja swasta Atikah Ali berharap agar semua pihak mengikuti arahan kementerian yang mengehadkan aktiviti luar termasuk kokurikulum ketika bacaan IPU mencatatkan bacaan yang tidak sihat.
“Langkah ini sekurang-kurangnya tidak terlalu mendedahkan anak-anak dengan udara tercemar,” jelasnya.
Pegawai Pengimejan Hospital Tanah Merah, Nor Ifa Azmi, 33, berkata, biarpun setakat ini keadaan di kawasannya terkawal, tetapi langkah berjaga-jaga perlu diambil buat dua anaknya berusia enam dan tujuh tahun.
“Sekurang-kurangnya sekarang saya boleh tarik nafas lega kerana mereka (kementerian) ada garis panduan sedia ada untuk kawal keadaan kalau sudah sampai tahap yang teruk.
“Saya tak nak anak saya terkesan kalau tiada persediaan dibuat,” kongsinya.
Untuk rekod, bacaan IPU sehingga 50 dikategorikan sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas berbahaya.

Terdahulu, Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan ibu bapa yang risau tentang kesihatan anak-anak mereka ekoran jerebu ketika ini dibenarkan untuk tidak menghantar pelajar ke sekolah namun perlu memaklumkan tindakan mereka kepada pihak pentadbiran sekolah.
Itu antara 10 garis panduan dikeluarkan Kementerian Pendidikan (KPM) semalam menerusi platform X kepada sekolah dan institusi pendidikan di bawah pentadbirannya dalam usaha menangani situasi jerebu yang melanda beberapa kawasan di negara ini.
Menerusi garis panduan itu, penutupan sekolah juga perlu segera dilakukan sekiranya bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 200 sementara aktiviti di luar bilik darjah disarankan ditangguhkan apabila IPU melebihi 100.
“Jika IPU melebihi 500, semua guru dan kakitangan tidak perlu hadir ke sekolah.
“Guru harus diberi tugasan sewajarnya jika sekolah ditutup. Keputusan pembukaan semula sekolah bergantung kepada bacaan IPU yang kurang daripada 200 dan trend penurunan bacaan,” ujar kenyataan itu.
Tambahnya, pelajar dinasihatkan memakai pelitup muka serta minum air dengan kerap dan sekolah hendaklah merujuk murid yang tidak sihat kepada ibu bapa atau penjaga dengan segera.
“Bagaimanapun, semua jenis peperiksaan, termasuk peperiksaan awam akan diteruskan seperti biasa,” ujarnya.














