KOTA KINABALU – Seorang lelaki berusia 27 tahun cedera ditikam hanya disebabkan menegur seorang lelaki memasang radio pada awal pagi dalam kejadian di kawasan Pelabuhan Sepanggar semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi itu, mangsa yang juga bekerja sebagai pembantu perkapalan cedera ditikam menggunakan pisau di bahagian belakang bahu kiri.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, suspek berkenan adalah seorang lelaki berusia 20-an.
“Siasatan mendapati ketika kejadian mangsa sedang melepak bersama lima rakan lain di kawasan terbabit sebelum seorang rakan mangsa mempelawa suspek yang ketika itu sedang berada di atas sebuah kapal untuk lepak bersama.
“Suspek kemudian datang bersama membawa radio yang sedang memainkan lagu tetapi ditegur oleh mangsa supaya tidak memainkan radio terbabit disebabkan menghasilkan bunyi bising,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, suspek selepas itu naik semula ke atas kapal sebelum datang semula dan terus menikam mangsa menggunakan pisau di bahagian belakang bahu sebelah kiri
Menurut Habibi, sejurus kejadian itu, rakan mangsa terus membawa mangsa yang cedera ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak (HWKKS) Sabah di Likas manakala suspek telah melarikan diri.
“Mangsa cedera menerima enam jahitan dan usaha mengesan suspek sedang dijalankan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan dengan menggunakan senjata atau lain-lain benda yang berbahaya. – K! ONLINE














