fbpx
Interceptor merupakan sebuah mesin yang mampu memerangkap sampah plastik di sungai sebelum hanyut ke laut. – AMIN AZMAN

Interceptor bersihkan 88,000 tan sampah Sungai Klang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

AKTIVITI membersihkan sampah yang terapung di permukaan dan dasar Sungai Klang, Selangor dan Kuala Lumpur seperti tidak berpenghujung.

Apa tidaknya, biarpun bermati-matian membersihkan sampah di kawasan muara, namun di hulu dan sepanjang sungai itu masih ramai yang membuang sampah.

Bertambah malang, sampah yang dibuang ke dalam sungai itu akhirnya memasuki perairan laut negara.

Hasil kajian yang dijalankan oleh pengkaji perairan, Lourens J.J. Meijer bersama sekumpulan penyelidik lain pada 2021, terdapat 20 negara yang banyak mencemarkan lautan.

Lebih menyedihkan, Malaysia disenaraikan sebagai negara ketiga di dunia yang paling banyak sampah plastik di lautan selepas Filipina dan India.

Filipina didapati telah mencemar lautan dengan penghasilan 356,371 tan metrik sampah plastik, India (126,513 tan metrik) dan Malaysia (73,098 tan metrik).

Dapatan tersebut juga menunjukkan, negara-negara yang memiliki geografi lebih kecil, mempunyai garis pantai panjang, mengalami hujan tinggi dan pengurusan sisa sampah lemah cenderung membiarkan sampah plastik bolos ke lautan.

Menyedari hakikat itu, beberapa agensi media tempatan telah dibawa menyusuri Sungai Klang untuk menyaksikan sendiri usaha Syarikat Landasan Lumayan Sdn. Bhd. (LLSB) membersihkan Sungai Klang.

Wakil media berpeluang melihat sendiri cara sampah seperti plastik, bangkai haiwan, batang pokok, malah tilam ‘dipintas’ menggunakan teknologi Interceptor dan Log Boom.

Menurut Pegawai Khidmat Korporat (Komunikasi) LLSB, Suhailah Shamsudin, usaha syarikat itu mengeluarkan 88,000 tan metrik sampah dari Sungai Klang sepatutnya diberi pujian dan bukan sebaliknya.

Ujarnya, pelaksanaan projek pembersihan sungai tersebut amat penting demi memelihara alam sekitar untuk generasi akan datang.

“Hari ini kita berpeluang melihat sendiri operasi pembersihan sampah menggunakan Interceptor.

“Ia dinamakan Ocean Cleanup, di mana Ocean Cleanup 002 (mula beroperasi pada Ogos 2019) dan

Ocean Cleanup 005 (mula beroperasi pada Mei 2023) hasil sumbangan band rock terkemuka dunia, Coldplay dengan nilai AS$500,000 (RM2.3 juta).

“Interceptor ini hanya ada di beberapa negara yang mempunyai masalah sampah kronik seperti Republic Dominica dan Filipina,” katanya.

Untuk makluman, Interceptor adalah mesin yang memerangkap sampah plastik di sungai sebelum hanyut ke laut.

Ia menggunakan bateri solar dengan keupayaan operasi selama 24 jam serta mampu mengutip sehingga 100,000 kilogram sampah setiap hari.

Dua buah Interceptor diperlukan bagi menangani pencemaran sungai yang agak teruk.
Log Boom pula adalah struktur yang dibina bagi memerangkap sampah di beberapa kawasan hot spot supaya sampah tidak hanyut ke laut lepas.

AKTIVITI manusia di sepanjang Sungai Klang menyebabkan saliran berkenaan tercemar.

Antara sampah yang berjaya dikutip menggunakan teknologi itu adalah katil, sofa, peti ais, sisa plastik dan motosikal.

Bezanya, Log Boom hanya boleh diletakkan di tempat tetap, manakala Interceptor lebih canggih kerana boleh bergerak menelusuri sungai seperti bot.

Suhailah menambah, LLSB telah melaksanakan projek tersebut di atas nama Selangor Maritime Gateway (SMG) sejak tujuh tahun lalu.

Katanya, LLSB turut bekerjasama dengan The Ocean Cleanup iaitu sebuah organisasi dari Belanda untuk mengutip sampah dengan teknologi tersebut.

Dia menambah, sebelum projek tersebut bermula, ada usaha membersihkan sampah di muara Sungai Klang secara berkala melalui pemasangan Log Boom.

“Semasa kita memulakan projek pembersihan ini, Sungai Klang dikelaskan pada tahap lima yang mana hidupan marin seperti ikan tidak mampu membiak.

“Kini, selepas lebih enam tahun projek pembersihan ini beroperasi, Sungai Klang berada pada tahap tiga.

“Sungai ini pernah berada pada tahap dua semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun 2020 hingga 2022,” katanya.

Jelasnya lagi, tahap kebersihan meningkat ketika itu berpunca daripada aktiviti manusia dan operasi kilang sepanjang Sungai Klang berada pada tahap sifar.

“Sememangnya dengan peningkatan kualiti air, kelibat haiwan seperti burung botak menangkap ikan boleh dilihat sepanjang sungai,” katanya.

Selepas PKP berakhir, sungai berkenaan kembali tercemar seperti sedia kala ekoran aktiviti manusia.

Sebagai bukti sungai tersebut masih penuh dengan sampah, bot yang membawa rombongan media sewaktu lawatan tersebut terhenti selepas kipas bot tersangkut plastik dan terlanggar batang pokok di dasar sungai.

Jelasnya lagi, masalah tersebut sering dihadapi nelayan sungai, sekali gus membuktikan masih banyak kerja perlu dilakukan untuk menjadikan Sungai Klang bersih.

“Sungai Klang dari sudut sejarah pernah menjadi kawasan perdagangan di mana bot atau kapal dagang boleh masuk kerana airnya dalam.

“Kini, mendapan yang tebal menyebabkan sungai ini menjadi cetek dan tiada lagi bot besar boleh masuk ke sini sesuka hati,” ujarnya.

Jelas Suhailah, usaha berterusan melibatkan pembersihan sungai itu menelan kos RM250 untuk satu tan sampah.

Tambahnya, kos tersebut sudah pasti akan ditanggung oleh kerajaan negeri iaitu duit rakyat sendiri.

“Wang besar terpaksa digunakan untuk membersihkan sampah yang sepatutnya diurus dengan bijak daripada sumbernya iaitu kita sendiri.

“Jadi, lawatan mendidik ini amat penting bagi memberi kesedaran kepada masyarakat bahawa sampah seperti mikroplastik boleh dimakan ikan.

“Apabila manusia memakan ikan ini, ia sudah pasti akan memudaratkan kesihatan kita,” tegasnya.

Sementara itu, Pengurus Pembangunan Industri Tourism Selangor, Chua Yee Ling berkata, program kebersihan sungai itu bertujuan memupuk kesedaran orang ramai berhubung penjagaan ekosistem.

Yee Ling berkata, program itu memberi fokus kepada pelajar sekolah untuk dibawa menelusuri Sungai Klang bagi melihat sendiri operasi mesin pengutip sampah, Interceptor dan Log Boom.

“Selain di rumah, kempen kesedaran ini perlu diberi penekanan di sekolah kerana pelajar-pelajar akan ada pengalaman dan melihat sendiri apa yang berlaku di sungai kita,” katanya.

Jelasnya lagi, tiga pakej disediakan untuk program itu dengan tawaran harga RM600 untuk 10 individu.

“Pakej medium RM800 untuk 15 individu, manakala bot besar yang dapat menampung 20 individu berharga RM1,000,” katanya.

Yee Ling berkata, pihaknya berharap, lawatan bersifat mendidik itu mampu memberi kesedaran bahawa alam sekitar perlu dijaga seperti darah daging kita sendiri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN