fbpx
NABILA HUDA

Nabila rasa kerdil, suami pula rayu ‘kembali’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

“DOA yang termakbul.”

Ungkapan itu berkali-kali terbit dari bibir figura bernama Nabila Huda saat berkongsi rasa mengenai penglibatannya dalam pementasan teater muzikal Lantai T. Pinkie karya agung Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said.

Bagi aktres yang pernah merangkul beberapa trofi pelakon wanita terbaik itu, terpilih dalam sebuah karya yang dianggap sebagai epitome pementasan teater menjadi tanda aras membanggakan dalam lipatan kerjaya seninya.

Menghalakan perbualan mengenai watak taruhannya Nyai Sunarti, pelakon yang mesra disapa Abil itu teruja diberikan kepercayaan mencuba sesuatu yang berbeza.

Tuturnya, menjayakan karakter tersebut sangat berbeza dengan watak yang pernah dipegang dalam mana-mana drama mahupun filem sebelum ini.

DOA Nabila Huda untuk berlakon watak berbeza termakbul menerusi teater muzikal Lantai T. Pinkie yang dipentaskan bermula Rabu ini di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

Nyai Sunarti

“Sejujurnya saya pernah terdetik dalam hati, bila agaknya hendak terlibat dengan pementasan teater sebab mahu ‘explore’ kemampuan diri selain beraksi di hadapan kamera.

“Tidak lama kemudian, saya dapat panggilan daripada pengarah teater ini iaitu Siti Rohayah Atan dan benarlah bahawa doa termakbul itu memang wujud,” ujarnya.

Meskipun begitu, dia pernah mempersoalkan kemampuan dirinya untuk menjayakan karakter tersebut walaupun hanya terlibat dalam lima babak sahaja.

“Pada awalnya saya terfikir sama ada mampu atau tidak untuk jadi Nyai Sunarti sebab watak dia sangat berat, perlu menari pula.

“Namun, disebabkan ingin mencabar diri, saya terima sebab sudah jatuh hati dengan skrip dan sanggup tolak tawaran drama lain demi Nyai Sunarti,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.

Bercerita lanjut, walaupun sudah lebih dua dekad memahat nama sebagai anak seni, Abil mengakui Nyai Sunarti merupakan watak paling sukar untuk dijiwainya.

Katanya, Nyai Sunarti diibaratkan sebagai watak bertemu ruas dengan dirinya.

“Bukan sahaja perlu bermonolog dan menari yang hakikatnya sangat sukar, dialognya pula guna bahasa Indonesia.

SEBAGAI pelakon yang terlebih dahulu menjadi Nyai Sunarti, Erma turut berpesan agar Nabila tidak memalukan diri di pentas muzikal Lantai T. Pinkie kelak.

“Sebelum ini kalau saya menjerit atau meraung dalam drama atau filem, tetap guna bahasa Malaysia tetapi kali ini berbeza.

“Sehingga hari ini saya masih mengejar ‘roh’ Nyai Sunarti. Setiap hari ‘overthinking’ dan sakit kepala sebab risaukan watak ini,” kongsi bintang filem Rahsia itu.

Dilayang soalan sama ada timbul kerisauan penonton membanding-bandingkan lakonannya dengan aktres yang pernah memegang watak sama sebelum ini, dia menjelaskan tiada istilah berlawan untuk menunjukkan pelakon mana paling bagus.

Antara pelakon handalan yang pernah memegang watak Nyai Sunarti sebelum ini adalah Erma Fatima dan Khatijah Tan.

SELAIN Nabila, muzikal Lantai T. Pinkie arahan bersama Dr. Rosminah Mohd. Tahir turut membariskan pelakon lain seperti Zera Aziz sebagai T. Pinkie, Faysal Saad, Carolyne Kamba, Linda Nanuwil dan Datuk Jalaluddin Hassan.

Abil juga merancang untuk bertemu dengan pengarah terkenal, Erma Fatima seminggu sebelum pementasan teater muzikal Lantai T. Pinkie untuk meminta tip bagi menjiwai watak terbabit.

“Mama Erma pernah melakonkan watak Nyai Sunarti pada pementasan terdahulu dan saya harap dia dapat membantu mendapatkan ‘roh’ watak itu.

“Ketika saya hubunginya baru-baru ini, dia beritahu supaya tidak memalukannya kerana dia yakin, sebagai pelakon yang pernah menang anugerah, saya boleh melakonkan watak Nyai Sunarti dengan baik,” ujarnya.

Berkali-kali juga anak sulung kepada penyanyi rock terkenal, Datuk Amy Search itu mengakui hatinya sangat tersentuh apabila masih ada pihak yang percaya dengan kemampuannya untuk menjayakan pementasan teater.

Dia juga berasa terlalu kerdil setiap kali mengikuti sesi latihan, terutama apabila berada dalam kumpulan individu yang sangat berpengalaman di pentas teater.

“Sejujurnya saya sangat terharu dan bangga kerana masih diberi peluang mencuba benda di luar daripada akal fikiran.

“Maknanya orang masih percaya saya boleh lakukan benda lain dan bukan tersekat hanya dalam satu genre pada usia 39 tahun ini.

“Saya rasa kecil sangat dalam dunia teater ini berbanding pelakon lain,” katanya lagi.

Sepanjang dua dekad dalam lakonan, Nabila menyifatkan watak Nyai Sunarti kerja paling sukar dilakukannya setakat ini.– foto oleh SYAKIR RADIN

Suami

Bercerita lanjut, Nabila juga terbawa-bawa watak Nyai Sunarti dalam kehidupan harian dan hal itu turut mencetuskan kerisauan suaminya, Mohd Izwan Johar.

“Bayangkan, saya kena bermonolog dalam tempoh yang agak lama. Menari dan menyanyi, perkara itu menuntut penghayatan yang sangat tinggi.

“Adakalanya saya menyanyi sambil terbaring di atas katil dan benda itu menakutkan suami sampai dia tegur supaya kembalikan isteri dia,” ujarnya sambil tertawa.

Bukan hanya berlatih koreografi, ibu kepada seorang cahaya mata itu turut terlibat kelas muay Thai bagi meningkatkan stamina diri.

“Saya ada menyertai kelas muay Thai untuk tambah stamina sebab banyak latihan menyanyi sambil menari.

“Ada sekali saya pernah rasa ‘down’, suami pesan jangan fikir terlalu banyak sebab dia percaya saya mampu lakukan.

Apapun, saya tidak akan senang duduk selagi pementasan teater belum berlangsung. Doakan roh Nyai Sunarti segera bertandang dalam diri saya,” tuturnya lagi.

Selain Nabila, muzikal Lantai T. Pinkie arahan bersama Dr. Rosminah Mohd. Tahir turut membariskan pelakon lain seperti Zera Aziz sebagai T. Pinkie, Faysal Saad, Carolyne Kamba, Linda Nanuwil dan Datuk Jalaluddin Hassan.

Kali terakhir di pentaskan di Istana Budaya 17 tahun lalu, Lantai T. Pinkie mengisah lara hidup seorang perempuan joget di Singapura sekitar zaman 1950-an selepas Perang Dunia Kedua.

Teater muzikal berkenaan akan menemui khalayak bermula 6, 7 dan 8 Oktober ini di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka.

Tiket-tiket berharga RM35, RM56 dan RM159 boleh didapati menerusi iLasso Tickets atau hubungi 0111-329 7822 untuk maklumat lanjut.

SUDAH menjadi kelaziman buat Nabila setiap kali terlibat lakonan beremosi, kali ini dia juga terbawa-bawa penangan karakter watak lakonannya, Nyai Sunarti sehingga ke bilik tidur.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN