fbpx
Gambar hiasan

1 daripada 3 rakyat Malaysia ada penyakit, faktor pemakanan jadi punca

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEORGE TOWN – Sama ada kita sedar atau tidak, seorang daripada tiga rakyat negara ini mempunyai penyakit tidak berjangkit iaitu diabetes, hipertensi dan kolesterol tinggi.

Gaya hidup yang tidak sihat dan pola pemakanan harian yang tidak seimbang dikatakan menyumbang kepada peningkatan penyakit tersebut.

Pegawai Penyelidik Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Hatijah Hashim berkata, dapatan itu diperoleh berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) oleh Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai status kesihatan masyarakat Malaysia.

Menurutnya, CAP memandang serius prevalens individu berpenyakit dengan trend pemakanan rakyat Malaysia sekarang sehingga mempengaruhi tahap kesihatan mereka.

“Berdasarkan NHMS 2019, satu daripada lima orang dewasa Malaysia menghidap diabetes, tiga daripada 10 atau 6.4 juta orang di Malaysia menghidap darah tinggi manakala empat daripada 10 atau 8 juta dewasa pula kolesterol tinggi.

“Daripada tinjauan itu, CAP merumuskan satu daripada tiga rakyat Malaysia sekarang berpenyakit disebabkan pemakanan seperti ambil makanan tinggi gula atau diproses seperti makanan dalam tin, burger, mi segera dan minuman bikarbonat serta bersusu.

“Melihat perkara ini, kemungkinan besar jumlah mereka yang berpenyakit tidak berjangkit ini akan naik mendadak,” katanya kepada Kosmo! di sini, baru-baru ini.

Jelasnya, di sebalik pelaksanaan kempen diabetes, namun penyakit diabetes jenis 2 sudah mencapai tahap epidemik.

“Menurut satu tinjauan, diabetes jenis 2 amat berbahaya dan lebih banyak berlaku ke atas mereka berusia 18 hingga 29 tahun. Kanak-kanak 10 tahun juga menghadap penyakit ‘orang tua’ ini.

“Boleh dikatakan, setiap rumah akan ada yang mempunyai penyakit tidak berjangkit. Di dunia pula, setiap 10 saat dua orang menghidap diabetes dan seorang mati akibat penyakit sama.

“Setiap 30 saat juga anggota kaki terpaksa dipotong akibat penyakit itu,” ujarnya.

Tambahnya, bebanan kewangan menjadi punca sebahagian rakyat tidak dapat mengamalkan gaya hidup sihat serta pola pemakanan yang teratur.

“Isu harga beras yang mahal hari ini mungkin memaksa segelintir individu mengubah gaya pemakanan sihat kepada yang segera. Kekangan masa untuk memasak di rumah turut menyumbang kepada penyakit tersebut,” ujarnya.

Justeru katanya, kerajaan perlu menggandakan usaha bagi menangani penyakit tidak berjangkit dalam kalangan rakyat Malaysia menerusi kempen kesedaran secara mega mengenai implikasi penyakit ini.

“CAP menggesa pihak berkuasa untuk meminda undang-undang pelabelan bagi memastikan pengeluar menukar label mereka dengan mencatatkan secara jelas kandungan gula.

“Hentikan iklan makanan yang tinggi gula atau minuman tidak berkhasiat. Haramkan juga penjualan makanan remeh di kantin dan kawasan sekitar sekolah. Beri contoh yang baik dengan mengamalkan gaya hidup sihat seperti bersenam,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN