Anggota polis menjalankan siasatan di lokasi kejadian seorang tauke bengkel yang mati ditembak dua lelaki di Jalan Hutan Kuin, Machang kelmarin.

Tembak Machang: Penembak pakai baju kalis peluru cari Apih Kulim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MACHANG – Seorang saksi kes tembak melibatkan seorang tauke bengkel di Jalan Hutan Kuin di sini kelmarin memberitahu dia melihat dua suspek tersebut memakai topeng dan jaket gelap seakan-akan anggota polis.

Dia yang dikenali sebagai Sulong, 37, berkata, sebelum kejadian pada pukul 5.30 petang itu, mangsa bersama dua rakannya menaiki sebuah trak pikap jenis Mitsubishi Triton sebelum meletakkan kenderaan tersebut di kawasan itu.

Katanya, salah seorangnya berusia dalam lingkungan 30-an kemudian duduk di depan deretan kedai sebelum sebuah kereta jenis Honda berwarna putih berhenti di sebelah trak pikap tersebut.

“Tidak lama kemudian, dua suspek bertopeng dan memakai jaket hitam seperti polis keluar dari pintu belakang kereta Honda itu.

“Sebaik keluar, mereka terus mengeluarkan sepucuk pistol dan meluru ke arah rakan mangsa yang sedang duduk di depan deretan premis itu untuk mengenal pasti orang yang mereka cari iaitu Apih Kulim,” katanya kepada Kosmo!.

Menurut Sulong, suspek kemudian menuju ke arah trak pikap berkenaan lalu melepaskan beberapa das tembakan ke arah cermin kanan dan kiri dinaiki mangsa.

Tambahnya, dia yang terkejut terus mengangkat kedua-dua belah tangannya sebagai isyarat menyerah diri kerana menyangka mereka mahu melakukan rompakan.

“Kedua-dua suspek itu kemudian menaiki semula kereta Honda itu sebelum pemandunya memecut laju dan hilang sekelip mata,” katanya.

Ujar Sulong, dia masih trauma dengan kejadian tersebut kerana ia amat mengejutkan sepanjang hayatnya.

Semalam Kosmo! melaporkan, seorang pemilik bengkel berusia 38 tahun maut dipercayai terkena beberapa das tembakan dilepaskan oleh dua lelaki.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, mangsa yang maut dalam kejadian itu mempunyai rekod jenayah dan dadah.

Menurutnya, berdasarkan maklumat awal, suspek yang terlibat dalam kes tersebut merupakan dua orang lelaki tidak dikenali yang menaiki kereta jenis Honda berwarna putih.

“Nombor pendaftaran kereta yang dinaiki kedua-dua suspek tidak dapat dikenal pasti. Suspek melepaskan beberapa das tembakan dari jarak dekat ke arah tingkap pemandu trak pikap terbabit.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Machang untuk dibedah siasat dan motif kejadian masih disiasat,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN