fbpx
Keadaan bencana dan runtuhan di Moulay Brahim, wilayah Al Haouz semalam. – AFP

Gempa Maghribi: Pelajar Malaysia tunggu ‘lampu hijau’ sambung belajar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Rata-rata pelajar Malaysia yang berada di Maghribi sedang menunggu ‘lampu hijau’ daripada pihak universiti sama ada mereka dibenarkan mema­suki semester baharu yang dija­dualkan bermula hari ini.

Menurut pelajar di Universiti Cadi Iyyadh, Mohamad Syukri Mohamad Sidek, 20, dia dan rakan dijadualkan memulakan semester baharu bermula hari ini selepas menghabiskan cuti musim panas selama tiga bulan.

Mohamad Syukri

“Kami tidak dapat mengesahkan status permulaan semester baharu itu sama ada akan diteruskan atau ditunda selepas bandar Marrakesh dilanda
gempa bumi teruk pada Jumaat lalu.

“Jadi buat masa ini, kami masih menunggu perkembangan terkini daripada pihak pengurusan universiti mengenai hal itu (permulaan semester).

“Kemungkinan sesi pengajian ditunda ada memandangkan kawasan universiti terletak berhampiran Kota Lama yang merupakan lokasi terjejas akibat gempa bumi,” katanya ketika dihubungi Kosmo! melalui aplikasi WhatsApp semalam.

Pelajar jurusan pengajian Islam tahun pertama itu berkata, buat masa ini, keadaan di sekitar universiti dan tempat tinggalnya dalam keadaan terkawal selain tiada bangunan runtuh seperti berlaku di Kota Lama Marrakesh.

“Kami tidak berdepan sebarang kesukaran seperti mendapatkan bekalan makanan sejak Sabtu dan hanya dalam keadaan berjaga-jaga jika ada kejadian gempa bumi berulang,” katanya.

Seorang lagi pelajar Malaysia di Maghribi, Muhammad Hafidzul Haqeem Nor Zaidi, 20, menyifatkan, keadaan mereka terkawal dan tiada perancangan pulang ke Kuala Lumpur.

Muhammad Hafidzul

“Meskipun masih lagi terkejut dengan apa yang berlaku pada Jumaat lalu, namun ketika ini, kawasan tempat kami tinggal dan universiti sudah terkawal.

“Kami boleh keluar dari rumah untuk menunaikan solat di masjid berhampiran dan mendapatkan bekalan makanan di kedai sekitar. Gempa susulan juga tidak ada serta semuanya dalam keadaan selamat,” jelasnya.

Ketika mengulas hari kejadian, Muhammad Hafidzul berkata, dia dan rakan serumahnya terpaksa berdepan detik cemas selama dua minit selepas kawasan kejiranan mereka bergegar.

“Jujurnya pada ketika itu, saya hanya berserah dan reda jika sesuatu berlaku. Saya juga sentiasa berzikir serta beristighfar untuk tenangkan diri selepas keadaan di luar agak kecoh.

“Alhamdulillah, walaupun bekalan elektrik terputus dan terpaksa berlari ke atas bumbung dalam gelap, kami selamat dan tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku,” ceritanya.

Presiden Persatuan Mahasiswa Malaysia Maghribi, Muhammad Afiq Badrul Hisham menjelaskan, status terkini kira-kira 110 pelajar Malaysia yang sedang melanjutkan pengajian di negara itu berada dalam keadaan selamat.

“Bagi keseluruhan pelajar Malaysia di Maghribi, kita mempunyai kira-kira 110 orang yang berdaftar dengan persatuan, manakala hanya dua orang yang berada di Marrakesh yang menjadi lokasi gempa bumi.

“Untuk rekod, lokasi paling ramai pelajar adalah di Rabat, tetapi gegaran di sana tidak sekuat di Marrakesh.

“Di Marrakesh, ada sembilan pelajar, namun ada daripada mereka yang keluar untuk ziarah ke wilayah lain. Jadi, hanya dua berada di lokasi gempa bumi ketika kejadian,” ujarnya.

Sementara itu, Malaysia telah menghubungi kerajaan Maghribi bagi menawarkan bantuan susulan kejadian gempa bumi yang menggegarkan negara itu.

Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, bantuan itu akan disalurkan selepas beliau menghubu­ngi Menteri Hal Ehwal Luar Maghribi, Nasser Bourita dan Duta Besar Malaysia ke Maghribi, Datuk Astanah Abdul Aziz.

“Apa yang dimaklumkan sehingga kini tiada laporan bencana itu melibatkan rakyat Malaysia kerana semua yang dihubungi berada dalam keadaan selamat.

“Kerajaan mengikuti perkembangan tragedi itu secara dekat dan mengucapkan takziah kepada kerajaan Maghribi,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN