KETIKA berusia 12 tahun, pelakon cilik yang pernah menambat hati penonton dengan kepetahannya berdialog seawal tiga tahun itu tekad membuat keputusan untuk ‘berhijrah’ dan mengenakan hijab.
Tanpa paksaan daripada sesiapa, pemilik nama pentas Mia Sara Nasuha itu membulatkan tekad mengikut kata hatinya yang ketika itu berada dalam fasa peralihan usia.
Sehingga ke hari ini, si bunga 18 tahun itu masih teguh mengekalkan hijab di kepala dan mahu istiqamah untuk berimej muslimah sejati.
Kata pemilik nama lengkap Mia Sara Nasuha Muhammad, sejak memutuskan hijab sebagai pakaian wajibnya, dia perlu menepis dugaan, terutama dalam meneruskan kerjaya dalam bidang seni.
Siapa sangka, dia pernah diminta kembali ‘menayang’ rambut oleh sesetengah pihak yang mahu memberikan tawaran berlakon kepadanya.
Namun, hati remaja yang kian terserlah dengan ciri kedewasaan itu masih kukuh dengan pendirian untuk tidak sesekali menanggalkan hijab.

Pengaruh media sosial
“Ketika mula berhijab sejak berusia 12 tahun. Keputusan itu dibuat bukan kerana terikut-ikut dengan kawan, tetapi atas kehendak diri sendiri yang mahu bertudung.
“Keluarga saya pun sebenarnya ramai yang tidak berhijab. Saya akui pernah diminta untuk menanggalkan tudung jika mahu berlakon. Tetapi saya menolaknya atas nasihat keluarga. Saya percaya rezeki itu ada,” ujarnya.
Tambah pelakon genit itu, dia turut mengakui industri hiburan tanah air agak mencabar sehingga ada yang sanggup menanggalkan ‘mahkota’ muslimah itu demi meraih peluang kerjaya sebagai anak seni.
Bukan itu sahaja, pengaruh dalam media sosial juga kadangkala mampu membuatkan iman seseorang itu rapuh sehingga mengambil keputusan untuk kembali melepaskan hijab.
“Individu yang mengambil keputusan untuk membuka tudung kadang-kadang bukan disebabkan peluang kerjaya semata-mata, tetapi disebabkan diri sendiri tertekan dek pengaruh media sosial,” jelasnya.
Melihat trend beberapa artis yang mengambil keputusan tidak lagi bertudung, Mia tidak terkecuali menjadi ‘sasaran’ netizen untuk kembali dengan imej asalnya.

Dijangka tanggal hijab?
“Melihat keputusan artis berhijab kembali membuka tudung, nama saya juga tidak terkecuali disebut-sebut netizen bakal mengikut jejak langkah artis seterusnya yang akan menanggalkan hijab.
“Pelik sebenarnya apabila nama saya turut ‘dipetik’ apabila timbul isu artis buka tudung. Pada masa sama, sebenarnya takut juga jika hal sebegitu terjadi (tanggal hijab). Bila nama saya disebut-sebut, saya jadi rimas,” kata Mia.
Tambah pelakon yang memulakan kerjaya seninya menerusi drama Adamaya itu lagi, netizen mengandaikan dirinya bakal menanggalkan hijab susulan sebelum ini pernah beberapa kali menjadi sasaran kecaman netizen gara-gara aksi menari sakan dalam media sosial.
Enggan menjadikan kritikan tersebut sebagai masalah besar, Mia cuma melakukan perkara yang disukai asalkan tidak keterlaluan.
“Berkenaan teguran yang saya dapat dalam TikTok, saya cuma ikut trend dan buat apa yang saya suka (menari).
“Lama-lama saya sedar, orang tetap akan mengata walaupun saya buat perkara yang orang lain suka. Tetapi tidaklah melebih-lebih.
“Pengaruh dalam media sosial juga memang menakutkan. Ada sahaja yang tidak kena. Apa-apapun, pucuk pangkal tanya diri sendiri,” katanya.

– SYAKIR RADIN
Kelainan watak
Menyentuh tentang perkembangan kerjaya lakonan, Mia mengakui, disebabkan keadaan fizikalnya yang bertubuh genit, dia kerap ditawarkan watak budak sekolah walaupun semakin dewasa.
“Kalau ditanya watak yang diidamkan, saya tidak mahu lagi membawakan peranan pelajar sekolah. Sudah 13 tahun saya bawakan watak sebegitu.
“Saya sudah bersedia dan mahukan watak remaja yang lebih dewasa. Tapi saya sedar akan keadaan fizikal saya yang kecil ini,” katanya berjeda tawa kecil.
Jelas Mia penuh pengharapan, dia terpaksa menolak banyak tawaran berlakon kerana tidak mahu lagi membawakan watak pelajar sekolah.
Hakikatnya, dia takut berbuat demikian kerana seolah-olah menolak rezeki.
“Kalau ikutkan banyak juga watak budak sekolah yang saya tolak sebab sudah terlalu sangat bawa peranan sebegitu.
“Mula-mula ada terfikir juga orang kata tolak rezeki.
Tapi lama-lama bila difikirkan semula, kalau ada rezeki tidak akan ke mana,” tutupnya yang menanti diberikan watak heroin suatu hari nanti.















