PETALING JAYA – Kenaikan harga beras import menggusarkan golongan peniaga dan pengguna, di samping bekalan beras tempatan pula semakin meruncing ketika ini.
Disebabkan bekalan beras tempatan kekurangan ketika ini telah menyebabkan harga beras import pula melonjak sehingga menggusarkan golongan berpendapatan rendah.
Tinjauan Kosmo! di beberapa kedai runcit dan pasar raya di daerah Kuala Terengganu, Terengganu semalam mendapati, harga beras import telah naik melebihi RM5 bagi paket 10 kilogram (kg) berbanding bulan lalu.
Seorang peniaga, Saiful Azri Mohamad, 38, mendakwa, harga beras import bagi paket 5kg pula mengalami kenaikan lebih RM3 iaitu RM17.70 berbanding RM14.40 sebelum ini bagi beberapa jenama beras.
Menurutnya, dia tidak menolak harga jualan beras import akan terus melonjak menjelang hujung minggu ini, sekali gus meletakkan peniaga dan pengguna dalam keadaan tertekan.

“Bukan sahaja golongan peniaga, bahkan pelanggan juga ramai mengeluh kerana sukar mencari beras tempatan di pasaran ketika ini.
“Harga beras import pula semakin tinggi, namun pembekal gagal memberi alasan kukuh mengenai punca masalah tersebut,” katanya yang ditemui di Kampung Batu Enam, di sini semalam.
Di Selangor pula, pengguna tiada pilihan apabila terpaksa membeli beras tempatan meskipun harganya mencecah RM40 bagi beras seberat 10kg.
Keadaan itu seterusnya menyulitkan lagi pengguna terutama golongan B40 yang masih bergelut dengan kenaikan harga barangan keperluan harian.
Seorang pekerja pembersihan, Noraini Mahat, 49, berkata, harga beras tempatan dikatakan telah berlaku peningkatan sebanyak dua kali dalam tempoh enam bulan.
“Dahulu harga beras 10kg tempatan hanya RM26, namun meningkat kepada RM33 dan terus meningkat menjadi RM37 ketika ini.
“Memang terbeban walaupun hanya duduk tiga orang di dalam sebuah rumah.
“Sekarang ini harga beras lagi mahal daripada tong gas 14 kilogram yang bernilai antara RM26 hingga RM28 sahaja. Sudah tentu sebagai rakyat, kita mahu ada tindakan sebaiknya daripada pihak berkuasa untuk segera mengatasi masalah ini,” katanya.














