fbpx
Muhammad Nizam menunjukkan sisa buah rambutan yang dikeluarkan daripada saluran pernafasan Nur Iman Fitriah (kiri) ketika ditemui di Kampung Bukit Cempedak, Maran semalam.

‘Saya dah cuba keluarkan rambutan tetapi gagal selamatkan anak’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MARAN – “Ketika saya tiba, saya lihat badannya sudah lemah dan kebiruan. Saya cuba pelbagai cara untuk menyelamatkannya tetapi gagal.”

Demikian cerita Muhammad Nizam Othman, 51, lagi, tanpa berlengah dia terus memecut ke Klinik Kesihatan Pekan Tajau di sini sebelum anak bongsunya, Nur Iman Fitriah, 9, disahkan meninggal dunia akibat tercekik buah rambutan.

Mengimbau semula kejadian pada pukul 6.50 petang Isnin lalu, Muhammad Nizam berkata, ketika itu dia sedang meracun di kebun sebelum dimaklumkan yang anaknya tercekik buah rambutan tidak lama kemudian.

Katanya, dia terus menanggalkan tong racun dan berlari ke dalam rumah sebelum mendapati badan anaknya telah lemah dan kebiruan.

“Saya mencuba pelbagai cara untuk menyelamatkannya tetapi tidak berjaya sebelum bergegas membawa ke klinik berhampiran.

“Saya tak sangka hasratnya yang beria-ia hendak makan buah rambutan menjadi petanda ajalnya,” katanya ketika ditemui di Kampung Bukit Cempedak di sini semalam.

Menurut Muhammad Nizam, beberapa hari sebelum kejadian, arwah ada memintanya membeli buah rambutan tetapi dia enggan kerana anaknya itu sedang menghidap batuk.

Tambahnya, jika hendak makan rambutan, biasanya dia sendiri akan membantu Nur Iman Fitriah mengupas dan membuang biji bagi menge­lakkan dia tercekik.

Gambar kenangan Nur Iman Fitriah (depan, kanan) ketika bercuti bersama ahli keluarganya di Terengganu tahun lalu.

“Mungkin dia ada beritahu sepupunya mengenai hasratnya hendak makan rambutan dan mereka ambil di rumah nenek saudara berdekatan rumah,” katanya.

Ujar Muhammad Nizam, lima minit sebelum kejadian anaknya sempat memberikan lambaian terakhir kepada anak saudaranya yang lalu di depan rumah.

“Itu perubahan ketara yang dia tunjuk kerana sebelum ini jika sepupunya itu lalu, dia pasti akan minta turun bermain dengan­nya atau dia akan merajuk,” katanya.

Sementara itu, ibu mangsa, Suriyani Tahir, 48 berkata, ketika melihat arwah lemah, dia merasakan anaknya sudah tidak ber­nyawa, namun masih mengha­rapkan keajaiban.

“Saya reda dengan kejadian ini tetapi kehilangannya amat dirasai kerana arwah jenis pe­riang dan ceria serta peneman di rumah memandangkan tiga anak lain sudah bekerja,” katanya.

Baki buah rambutan yang dimakan Nur Iman Fitriah.

Menurut Suriyani, arwah ba­nyak merakam dirinya di telefon bimbit dan dia tak sanggup untuk menontonnya ketika ini kerana akan membuatkannya sebak.

“Kami memang rapat dan mulutnya macam bertih jagung ke­rana cakap tak berhenti. Sekarang dia sudah tiada tak tahu macam mana saya nak berdepan dengan hari-hari mendatang,” kata­nya kepada Kosmo!.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Norzamri Abd. Rahman berkata, Nur Iman Fitriah disahkan mening­gal dunia oleh petugas Klinik Kesihatan Pekan Tajau, Maran akibat tercekik buah rambutan.

Laporan bedah siasat mengesahkan kematian mangsa akibat salur pernafasan tersumbat di­sebabkan oleh sesuatu objek dan buah rambutan berjaya dikeluarkan melalui mulut mangsa.

Jenazah mangsa yang merupakan pelajar tahun tiga Sekolah Kebangsaan Paya Pasir di sini selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Cempedak, Maran semalam.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN