Biarpun sudah hampir sedekad berlalu, namun peristiwa yang cukup menyeramkan itu masih segar dalam ingatan Mas (bukan nama sebenar) dan kakaknya, Rin.
Dua beradik itu yang tinggal bersama nenek mereka ketika di bangku sekolah pernah berdepan beberapa peristiwa menyeramkan yang masih mampu diingati dengan jelas.
Cerita Mas, apabila tibanya cuti sekolah, ibu bapanya akan menghantar mereka tinggal bersama nenek di sebuah kampung terpencil yang terletak di Raub, Pahang.
Memandangkan neneknya hanya tinggal seorang diri selepas kematian datuk pada 2010, maka Mas dan Rin akan menemani wanita tua itu di kampung.
“Rumah nenek terletak agak jauh dari jalan utama di kampung itu. Lorong yang sempit juga menjadikan rumah tersebut agak menyeramkan.
“Nenek juga melarang kami pulang ke rumah pada waktu malam dan akan menutup pintu serta semua tingkap tepat pukul 6.30 petang pada setiap hari,” ujar Mas memulakan bicara.
Namun, kedamaian kampung dan kelazatan masakan neneknya menjadikan Mas seronok menghabiskan masa di kampung setiap kali tiba musim cuti sekolah.
Tambah anak kelahiran Kuala Lumpur itu, dia dan Rin agak rapat dengan seorang lagi orang kampung di situ yang hanya dipanggil sebagai Tok Man.
Tok Man merupakan seorang lelaki berusia penghujung 60-an yang juga tinggal seorang diri di kampung tersebut setelah kematian isterinya.
“Tok Man dan nenek pernah bercinta satu ketika dahulu, namun tiada jodoh apabila masing-masing berkahwin dengan pilihan keluarga.
“Namun, saya dan Rin sering mengusik dan menyakat nenek dengan menggelar Tok Man sebagai ‘pakwe’ nenek,” ujar Mas.
Pada musim cuti sekolah 2013, Mas dan Rin kembali ke kampung halaman nenek mereka untuk menghabiskan masa di situ.
Ketika sedang berbasikal menuju ke sebuah kedai berhampiran, Mas terserempak dengan Tok Man yang sedang duduk di sebuah pondok betul-betul di hadapan rumahnya.
Tok Man menegur Mas, namun dia hanya membalas teguran tersebut dengan melambai kepada susuk tua itu.
Selepas beberapa hari, Mas dan Rin yang berbasikal berdua di kawasan kampung terlihat kelibat Tok Man di pondok sama, dan lelaki itu masih menegur mereka seperti biasa.
“Pada awalnya, Rin mahu berhenti seketika untuk berbual dengan Tok Man. Maklumlah, kami sudah lama tidak berbual dengan dia.
“Namun, memandangkan jarum jam ketika itu sudah hampir menunjukkan angka enam petang, saya dan Rin terus pulang ke rumah kerana bimbang dimarahi nenek,” kata Mas.
Keesokan harinya, Mas sekali lagi terserempak dengan Tok Man, namun lelaki itu kelihatan sibuk.
Maka, dia mematikan hasratnya untuk berbual dengan Tok Man dan terus pulang ke rumah.
Setibanya di rumah, Mas memberitahu neneknya tentang pertemuan mereka dengan Tok Man.
“Nenek, dah beberapa hari ini saya dan Rin terserempak dengan ‘pakwe’ nenek.
“Dia hanya duduk di hadapan rumahnya seorang diri dan ada menegur kami. Namun, kami tidak berkesempatan untuk berbual dengannya,” ujar Mas.
Nenek memandang wajah cucunya itu dengan penuh hairan. Dia kemudian menoleh pada Rin sebelum mengajukan satu soalan.
“Kamu nampak Tok Man di depan rumahnya?” soal nenek.
Mas dan Rin mengangguk laju, namun wajah neneknya masih berkerut seolah-olah cukup pelik dengan kenyataan itu.
“Nenek kemudian memaklumkan bahawa Tok Man sudah meninggal dunia hampir dua tahun lalu.
“Kami amat terkejut dengan apa yang dikatakan oleh nenek,” kata Mas.
Wajah Rin kelihatan pucat lesi ketika itu memandangkan gadis tersebut yakin dia melihat Tok Man beberapa kali sebelum ini.
Kini, rumah Tok Man sudah pun dirobohkan selepas ia tidak berpenghuni.
Setiap kali pulang ke kampung nenek, Mas dan Rin sentiasa teringat akan peristiwa seram yang pernah dilalui mereka.















