fbpx
Noor Hisham

Tak timbul isu mati – KP Kesihatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – “Tak timbul isu kita takut mati,” tegas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah sambil memetik ayat daripada surah al-Quran yang bermaksud setiap bernyawa akan merasai mati.

Beliau memberi maklum balas tersebut selepas ditanya berhubung kenyataan Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing yang mengatakan beliau takut mati serta mendakwa tidak turun padang ke Sabah.

Noor Hisham menjelaskan, beliau sendiri turun ke negeri tersebut pada akhir bulan Ogos bagi melihat pengurusan dan kesiapsiagaan Kementerian Kesihatan (KKM) susulan Pilihan Raya Negeri (PRN) itu.

“Hari ini kita lihat di KKM, kita telah buat perancangan khusus untuk negeri Sabah. Malah, saya telah arahkan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr. Chong Chee Kheong turun sama pada minggu lepas.

“Penasihat Khas Kesihatan Awam Kepada Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Jemilah Mahmood juga turun ke Sabah dua minggu lalu jadi, tak timbul isu kita takut mati.

“Sebagai orang Islam, kita terima kematian itu di mana-mana sahaja yang akan berlaku, bukan hanya turun padang atau tidak,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, paling penting ialah niat untuk melaksanakan tugas dalam mengekang penularan pandemik Covid-19 di negara ini.

“Apa yang penting pasangkan niat kita untuk melaksanakan tugas. Niat kita adalah untuk memutuskan rantaian Covid-19 di dalam negara dan ini tujuan utama kita.

“Justeru, kita boleh berselisih pendapat tetapi apa yang pasti, kita laksanakan tugas memutuskan Covid-19 ini supaya dapat menyelamatkan negara daripada peningkatan kes dan kadar kematian,” katanya.

Menerusi sidang Parlimen hari ini, King Sing (GPS-Bintulu) menyentuh soal usaha memerangi pandemik Covid-19 di Sabah dan Sarawak pada perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 Belanjawan 2021.

Antara yang dipersoal King Sing mengenai strategi Noor Hisham terhadap dua negeri itu.

“DG (Noor Hisham) kenapa tidak turun padang, kerana di Kota Kinabalu Sabah sekarang teruk pandemik Covid-19 di sana, kenapa dia tak turun melawat tiap-tiap hospital?

“Pergi turun tengok dan berbincang untuk menguruskan frontliners, doktor dan jururawat. Jangan hantar sahaja. Frontliners tidak takut mati tapi DG takut mati, Timbalan DG pun tak pergi apa sudah jadi. Hari-hari buat publisiti tapi dilihat lekuk masih belum dapat diturunkan,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN