fbpx
NORAINI menunjukkan telekung yang diperbuat daripada material kain berkualiti, berjahitan halus dan cantik serta selesa bagi si pemakainya.

Noraini bina jenama PrettyAini tawar keperluan haji, umrah berkualiti, harga mampu milik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Jalan Tuanku Abdul Rahman atau nama popularnya Jalan TAR dan kawasan beli-belah di sekitar Masjid India di sini sememangnya menjadi lubuk rezeki buat usahawan bukan sahaja yang berasal dari Lembah Klang tetapi juga dari seluruh negara.

Tidak terkecuali, seorang usahawan wanita yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan yang turut menumpang di situ mengambil peluang keemasan untuk berniaga secara kecil-kecilan di sebuah arked yang banyak di terdapat di situ pada 20 tahun lalu.

Bermula dengan menjual kain ela seperti batik asli hasil ciptaan anak negeri di Pantai Timur dan juga sutera, Noraini Mustafa, 49, menimba pengalamannya berniaga fasa demi fasa di kawasan tumpuan pelancong tempatan dan luar negara.

Lot niaganya itu mula mendapat sambutan apabila para pelanggan yang terdiri daripada kakitangan kerajaan datang membeli koleksi pakaian batik untuk dipakai ke pejabat pada setiap hari Khamis.

Seiring kemasukan fesyen pakaian batik tiruan dari luar negara di pasaran juga telah menghiasai pasaran semasa dan Noraini turut mengambil peluang dengan menawarkan pelbagai pilihan koleksi pakaian batik tersebut kepada kumpulan pelanggan.

Jelas beliau, ini kerana bukan semua pe­langgan memiliki ke­upayaan untuk membeli pakaian batik yang asli dengan harga yang mahal.

Selain bidang peruncitan, beliau mula menceburi bidang pemborongan kerana dilihat ia lebih berpotensi, malah mampu menawarkan penjanaan hasil untuk jangka panjang.

Sehingga kini, jualan daripada segmen pemborongan telah ­menyumbang kira-kira 70 peratus kepada hasil jualan, manakala bakinya adalah daripada segmen peruncitan.

“Saya memilih Jalan TAR sebab salah satu cabang perniagaan PrettyAini kerana pengli­batan kami dalam pemborongan.

“Disebabkan kami lebih mudah dikenali oleh pelanggan sekali gus mahu berjumpa rakan niaga, usahawan dan pelanggan dari seluruh negara maka di sinilah lokasi yang dipilih kerana ia sangat strategik,” katanya ketika ditemui di butiknya baru-baru ini.

Noraini berkata, kematangan beliau dalam industri peruncitan dan pemborongan telah membo­lehkannya mencipta jenama PrettyAini yang menawarkan pelbagai keperluan haji, umrah dan telekung yang berkualiti, selesa untuk beribadah di Tanah Suci serta juga ditawarkan pada harga mampu milik.
Malah, cita-citanya kini mahu menjadikan jenama tersebut ter­kenal dan mudah diingati oleh pelanggan untuk mendapatkan barangan keperluan haji dan umrah di pasaran tempatan.

Produk yang lengkap dari hujung kaki hingga hujung kepala untuk lelaki dan wanita untuk menunaikan haji dan umrah itu bukan sahaja boleh didapati di lot niaga di Jalan TAR tetapi juga dibutiknya yang telah dibuka di Jalan Kuching.

Ini kerana premis yang memiliki dekorasi dalaman unik dan menawarkan pelbagai bara­ngan termasuk aksesori lain daripada sekecil-kecil barang seperti tasbih, tali pinggang hinggalah kepada jubah dan telekung serta yang lain itu memberi ketenangan, kemudahan serta keselesaan bukan sahaja individu, malah yang membawa keluarga bersama.

Ia juga terletak berdekatan dengan sebuah syarikat agensi pengendalian umrah yang turut memudahkan pelanggannya membeli-belah di situ.

“Melihat kepada masalah parkir kereta, kesesakan dan ada juga pelanggan yang tidak suka datang ke Jalan TAR, jadi saya buka butik di sini bagi membantu pe­langgan berbelanja dengan lebih tenang,” jelasnya.

Noraini berkata, selain itu, syarikat juga membekalkan pelbagai keperluan haji dan umrah kepada kira-kira 220 butik di seluruh negara.

“Bila kami membekalkan barangan ke butik-butik maka aspek kualiti amat dititikberatkan dan kami pastikan semua barangan adalah yang terbaik bagi memenuhi ke­perluan pelanggan mereka.

“Selain itu, kami juga ada memiliki 250 ejen di seluruh negara yang mana ia terdiri daripada peniaga kecil-kecilan yang berniaga dari rumah dan menjual barangan melalui platform media sosial masing-masing.

“Kami mahu menambah bilangan tersebut kepada 500 ejen dalam masa terdekat ini bagi memenuhi permintaan yang sema­kin meningkat,” ujarnya.

Tambah usahawan yang ­berasal daripada keluarga berniaga di Kelantan dan belajar berniaga sejak dibangku sekolah itu, permintaan bertambah apabila tibanya musim haji yang membuatkan beliau sibuk menerima tempahan bermula selepas hari Aidilfitri setiap tahun sehinggalah tibanya kemuncak bakal haji berlepas ke Tanah Suci.

Bagaimanapun, syarikat turut menjadi pilihan pelanggan untuk memenuhi keperluan mereka ketika menyiapkan keperluan me­nunaikan umrah selepas tempoh tersebut.

Rohani berkata, berbeza de­ngan pengalaman lalunya dalam menjual pelbagai produk lain, kepuasan menjalankan perniagaan berkaitan dengan barangan untuk beribadat di Tanah Suci oleh para pelanggan membuatkan hatinya begitu tersentuh setiap kali membaca komen atau testimoni daripada mereka.

“Memang niat saya untuk membantu semua orang mendapatkan keperluan haji dan umrah agar mereka selesa beribadat di sana,” jelasnya.

Bagi perancangan masa hadapan, PrettyAini juga sedang membuat perancangan terpe­rinci untuk mengembangkan perniagaanya melalui konsep perlesenan di lokasi strategik di seluruh negara.

Perbincangan sedang dijalankan bagi memilih usahawan yang bersesuaian dengan misi dan konsep pengembangan syarikat di bawah perlesenan dan jika semuanya berjalan lancar serta membuahkan hasil, beliau tidak menolak kemungkinan untuk melangkah kepada konsep francais pula. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN