IPOH – Jabatan Agama Islam Perak (Jaipk) mengangguhkan pengendalian kursus praperkahwinan secara bersemuka berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 9 November hingga 6 Disember depan.
Pengarah Jaipk, Datuk Mohd. Yusop Husin berkata, untuk itu semua penganjur perlu memulangkan semula wang pendahuluan daripada peserta yang sudah diterima.
“Penangguhan itu berkuatkuasa sehingga tarikh yang akan dimaklumkan kelak.
“Sehubungan itu, pihak penganjur dinasihatkan untuk tidak mengambil wang pendahuluan bagi kursus yang diaturkan sepanjang PKPB dan perlu memulangkan semula wang pendahuluan yang sudah diterima,” katanya melalui surat pekeliling yang diedarkan di sini hari ini.
Mohd. Yusop berkata, oleh yang demikian, pasangan yang berhasrat untuk melaksanakan akad nikah dalam tempoh PKPB dan masih belum menghadiri Kursus Praperkahwinan Islam boleh menghadiri sesi Temuduga Khas di Pejabat Agama Islam daerah yang berdekatan. – K! ONLINE














