fbpx
DAIYAN TRISHA

Daiyan Trisha trauma tapi berbaloi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TUBUH lebam, jangkitan telinga hingga paling klimaks berdepan semula serangan cemas atau gangguan anxiety antara cabaran yang dihadapi Daiyan Trisha dalam filem terbaharu, Sumpahan Jerunei.

Biar telah empat tahun berlalu, pengalaman 45 hari menyempurnakan penggambaran di Mukah dan Kuching, Sarawak meninggalkan impak besar terhadap aktres itu.

BERDEPAN cabaran aksi terutama babak lemas dalam lumpur yang mencetuskan semula gangguan anxiety memberi satu kepuasan buat Daiyan Trisha semasa menjayakan Sumpahan Jerunei.

Sahut cabaran

Berfizikal kecil molek selain mempunyai sejarah anxiety bukan alasan buat Daiyan atau nama lengkapnya, Daiyan Trisha Mohd. Nasaruddin mengelak daripada menyahut menyerlahkan sisi beraninya sebagai seorang pemain filem.

Katanya, babak dihumban dalam kolam selut buatan yang mengakibatkannya terpaksa berulang-alik bertemu doktor selama berbulan mengundang trauma berpanjangan.

Namun, seperti diluahkan Daiyan selepas menonton naskhah arahan Jason Chong itu, semua rasa sakit serta pengorbanan demi menterjemahkan watak Hana memberi imbalan berbaloi.

“Tiada apa yang saya kesalkan sepanjang menjayakan penggambaran walaupun turut berdepan emosi terpisah daripada keluarga hampir dua bulan di bumi kenyalang.

“Banyak babak aksi, lasak dan mengerikan yang saya buat sendiri terutama terhumban ke dalam kolam kononnya pasir jerlus. Sebenarnya, itu merupakan campuran pasir, tanah, air dan daun kering.

“Saya kena tenggelamkan diri beberapa kali supaya nampak seakan-akan ditarik, tetapi situasi itu menyebabkan bahagian telinga saya terkena jangkitan kuman.

“Lepas penggambaran, saya ke klinik mendapatkan rawatan telinga serta bertemu pakar kerana serangan panik dan keresahan melampau atau anxiety yang datang semula,” katanya selepas tayangan perdana Sumpahan Jerunei, baru-baru ini.

DAPAT berkongsi layar dengan aktor hebat termasuk Bront Palarae, Amerul Affendi, Syafie Naswip dan Tony Eusoff beri pengalaman bermakna buat Daiyan.

Dikejar penghulu kampung

Menurut bintang berusia 29 tahun itu, antara adegan yang turut mencetuskan trauma hingga dia tidak mengambil tawaran filem aksi seram lebih setahun adalah dikejar penghulu kampung.

“Babak lain yang menakutkan adalah ketika dikejar Tony Eusoff (penghulu) kerana saya terkena selumbar buluh dan luka disebabkan berkaki ayam saja.

“Saya menangis selepas penggambaran, tapi semua ini berbaloi walaupun lama juga kesan trauma itu,” luahnya.

Daiyan teruja berada satu set dengan ramai bintang hebat termasuk Tony, Bront Palarea, Amerul Affandi, Syafie Naswip dan ramai lagi termasuk Ruminah Sidek serta Uqasha Senrose.

Dua bulan penggambaran membuatkan mereka erat ibarat sebuah keluarga besar.

“Selain fizikal, kekuatan mental juga amat penting kerana lama kami terpisah dengan keluarga sepanjang menjayakan penggambaran.

“Apabila dikelilingi kawan-kawan termasuk pelakon lain, kru dan pengarah, semua benda jadi mudah malah antara kami ambil giliran memasak,” tuturnya.

2023 merupakan tahun yang sibuk buat Daiyan apabila kini menyempurnakan pula penggambaran drama bersiri untuk siaran platform penstriman atau over the top (OTT). – SHIDDIQIN ZON & INSTAGRAM DAIYAN TRISHA

Raih perhatian global

Sebelum naskhah aksi thriller terbitan Produksi Seni 2020 tersebut menjengah pawagam, Sumpahan Jerunei terlebih dahulu menarik minat pengedar dan ejen filem di peringkat antarabangsa.

Penerbit bersama, Datuk Nancie Foo berkata dan rakan kongsinya, Datin Wendy Wong yakin filem yang memakan masa selama enam tahun, termasuk dua tahun kajian tentang adat dan budaya kaum Melanau itu mempunyai tarikan tersendiri.

“Setakat ini, pengedar dari Kemboja dan Vietnam berminat untuk menayangkan filem Sumpahan Jerunei di sana. Filem ini telah ditayangkan di Festival Filem Antarabangsa ASEAN (AIFFA) 2023,” katanya.

Menelan bajet sebanyak RM5 juta, filem tersebut membongkar kisah di sebalik kewujudan tiang jerunei selaku monumen penting masyarakat Melanau. Sumpahan Jerunei ditayangkan bermula pada 27 Julai 2023.

BERSAMA Daiyan, kehadiran dua pelakon handalan, Bront Palarae dan Amerul Affendi sangat memberi impak terhadap jalan cerita Sumpahan Jerunei.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN