Sudah lima bulan anak kita ke sekolah pakai baju sukan atau baju pendidikan jasmani. Seronok bukan kepalang ibu bapa kita.
Seronok sebab apa, tidak perlu gosok lima pasang baju uniform putih setiap hari dalam seminggu.
Seronok juga apabila tidak perlu menyental kotor-kotor anak berkubang sampai baju jadi warna ‘budu’.
Setelah lima bulan berlalu, ramai ibu bapa sekarang tertanya-tanya sampai bila anak-anak mereka perlu memakai baju sukan itu.
Tertanya-tanya bukan sebab apa, berdebar takut anak-anak kembali pakai uniform putih, rutin menyental dan gosok baju kembali balik asal.
Pertanyaan itu kerana mereka sudah selesa lima bulan ini anak-anak memakai baju santai-santai ke sekolah, bil elektrik pun jimat juga tidak perlu gosok baju setiap hari.
Ramai ibu bapa menaikkan posting di media sosial memohon Kementerian Pendidikan meneruskan sahaja pemakaian baju pendidikan jasmani itu ke sekolah.
Memandangkan keadaan cuaca tidak sepanas dulu lagi, mungkin kelonggaran memakai baju sukan akan ditarik balik bila-bila masa.
Sehingga sekarang masih belum ada apa-apa pengumuman rasmi sehingga bila dan anak-anak kembali memakai uniform ke sekolah.
Jika diingatkan balik memang banyak leganya ibu bapa sekarang tidak perlu menyental baju yang ‘macam budu’ balik sekolah.
Baju putih bertukar warna apabila balik dari sekolah terutama anak lelaki, memang kena rendam dan sental sahaja kerja ibu-ibu.
Apabila mereka tidak lagi memakai baju uniform putih urusan itu sudah dapat dijimatkan untuk kerja-kerja lain pula.
Persoalannya sekarang sampai bila tidak perlu pakai baju sekolah, berdebar-debar pula rasa bila ada pengumuman baharu kembali pakai uniform, ibu bapa pula sudah selesa sangat dengan baju sukan.
Masalahnya sekarang uniform sekolah yang baharu dibeli ketika sesi persekolahan ini hanya sempat dipakai kurang sebulan.
Masih putih mulus lagi baju yang dibeli awal bulan Mac lalu, kalau tidak dipakai terus serba-salah juga, membazir pun ada.
Tanda nama pun belum sempat berjahit lagi. Jangan ada baju yang sudah tidak muat sebab berat badan anak naik.
Apa-apa pun jangan terlalu selesa ya ‘mama-mama’ semua, baju uniform putih sekolah tetap akan digunakan kembali, cumanya hanya masa yang menentukan sahaja.
Bolehlah mula jahit tanda nama dan lencana itu perlahan-lahan.














