fbpx
Muhammad FarIs memiliki bebola mata berwarna biru jernih dan coklat gelap ketika ditemui Kampung Teluk Temelah, Baling semalam.

Remaja mata biru dan coklat jadi perhatian ramai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BALING – Seorang remaja lelaki sentiasa menjadi perhatian ke­rana memiliki mata yang unik de­ngan bebola mata berwarna biru jernih dan coklat gelap.

Muhammad Faris Mohd. Fuad, 14, dikatakan mempunyai bebola mata warna berbeza itu sejak lahir, namun keluarganya hanya menyedari perkara tersebut ketika dia berusia setahun.

Ibunya, Hasniza Hussin, 43, berkata, sewaktu anaknya berusia setahun, warna biru pada bebola mata anaknya semakin terserlah.

“Dia sering menjadi perhatian orang ramai jika keluar bersiar-siar bersama keluarga. Ada yang bertanya, malah ada yang memuji kerana kombinasi warna tersebut dianggap cantik dan unik.

“Ketika dimasukkan ke wad Hospital Daerah Baling kerana demam atau diserang sawan, doktor dan jururawat meminta izin untuk bergambar dan berswafoto dengan Muhammad Faris kerana tertarik dengan keunikan matanya.

“Di sekolah pula, guru-guru merakam gambarnya dan memuat naik di akaun TikTok dan Facebook. Hantaran itu mendapat tanda suka dan tontonan yang tinggi,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Teluk Temelah, di sini semalam.

Wanita itu tidak menolak kemungkinan anaknya mewarisi genetik bermata biru daripada nenek sebelah bapa yang mempunyai sepasang mata biru.

Selain Muhammad Faris, dua lagi saudaranya iaitu Umi Aqilah Ahmad Zailani, 20, dan adiknya, Mohamad Safwan, 14, memiliki sepasang mata berwarna biru.

Keunikan mata dua beradik yang merupakan sepupu suami Hasniza, Mohd. Fuad Abdul Hassan, 47, itu pernah dilaporkan Kos­mo! pada 12 Ogos 2021.

Di sebalik keunikan pancaindera itu, pelajar Pendidikan Khas Sekolah Kebangsaan Siong itu menghadapi masalah pembelajaran. Perkara itu dikesan guru tadika ketika Muhammad Faris berumur enam tahun berikutan dia lambat menerima pembelajaran daripada gurunya.

“Setelah menyedari dia mempunyai masalah kesihatan lalu saya membawanya ke Hospital Daerah Baling untuk mendapatkan rawatan. Doktor mengesahkan Muhammad Faris dikategorikan orang kelainan upaya (OKU) pembelajaran.

“Meskipun anak saya dalam kategori OKU, dia minat belajar terutama melukis dan suka ke sekolah kerana ramai kawan dan guru yang baik hati selain mudah bergaul,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN