fbpx
NADEERA ZAINI

Nadeera tak cantik, tapi terbaik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SELEPAS 10 minggu bersiaran, program Big Stage musim kelima (BS5) akhirnya melabuhkan tirai pada malam Ahad lalu dengan menyaksikan penyanyi berbakat besar, Nadeera Zaini dijulang sebagai juara.

Ramalan ramai pihak yang mempertaruhkan bakat wanita asal Mersing, Johor itu untuk merangkul gelaran juara ternyata tepat, meskipun mendapat saingan sengit daripada seorang lagi peserta asal Indonesia, Waode.

Pada pentas akhir BS5 yang bersiaran langsung dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Nadeera atau nama lengkapnya Farah Nadeera Zaini, cemerlang mempamerkan persembahan mantap, sekali gus memperoleh markah keseluruhan tertinggi sebanyak 68.39 peratus, mengatasi lima lagi peserta lain.

Dengan kekuatan vokal yang lantang dan tinggi, Nadeera bersungguh-sungguh mempamerkan persembahan ketika segmen pertama (solo) dengan mendendangkan lagu Never Enough, nyanyian asal Loren Allred.

Tepukan dan sorakan gemuruh daripada penonton yang membanjiri auditorium bergema, tanda terpukau dengan lontaran vokal milik penyanyi berusia 30 tahun itu.

NADEERA ZAINI yang dijulang sebagai juara Big Stage musim kelima berjanji tidak akan menghilangkan diri lagi selepas ini dan akan terus berkarya untuk cemerlang dalam industri.

Dikutuk tidak cantik

Usai membuat persembahan, suasana yang tadinya riuh, tiba-tiba bertukar menjadi sebak, apabila Nadeera dilihat menitiskan air mata.

Rasa hiba terzahir bukan kerana dia berjaya mempamerkan persembahan cemerlang, tetapi air mata kesedihan tersebut gugur dek kecaman segelintir khalayak, hanya disebabkan anugerah kecantikan paras rupa yang tidak memihak kepadanya.

“Saya tahu, saya tidak cantik,” kata Nadeera sewaktu meluahkan perasaan tentang kecaman yang harus ditelannya pada minggu-minggu awal pertandingan dalam BS5.

Dia dikatakan tidak memenuhi standard untuk bergelar seorang artis.

JUARA Big Stage musim kelima, Nadeera diapit pemenang tempat kedua, Waode (kiri) dan tempat ketiga milik Putera Muhammad serta finalis lain.

Penghinaan sebegitulah yang meluluhkan hati Nadeera, sehingga membuatkan mematahkan semangatnya meneruskan pertandingan.

Juri tetap BS5, Ajai ketika memberi respons terhadap persembahan Nadeera, cuba memujuk hati wanita bertubuh genit dengan cara tersendiri.

Ajai dilihat beremosi terhadap kata-kata biadab segelintir netizen apabila tergamak menyentuh isu rupa paras seseorang untuk dijadikan ‘modal’ kutukan.

“Saya rasa nak ‘babab’ (pukul) siapa yang cakap awak tak cantik.

“Jangan sesekali merendahkan diri kita. Setiap yang diberi oleh Allah SWT itu ada kelebihannya,” kata Ajai.

SERING terhimpit rasa rendah diri, Nadeera tetap bersemangat untuk berjuang dalam bidang yang dicintainya iaitu nyanyian.

Vokal stabil

Larut dalam emosi, dua pengacara ‘gila-gila’, Elly Mazlein dan Rina Nose juga tidak dapat menahan sebak. Sambil menenangkan Nadeera, mereka yang selama ini menjadi penceria acara turut teresak-esak menahan tangis.

Sungguh air mata menjadi pembakar semangat, apabila dalam pusingan Battle Mash-Up, Nadeera sekali lagi beraksi cemerlang membawakan lagu Gundah, nyanyian asal Ernie Zakri.

Dalam segmen kedua itu, dia bersaing dengan pancabar terdekatnya, Waode yang mempertaruhkan lagu Semalam (Aina Abdul).
Masing-masing tidak mahu kalah ketika beraksi mempamerkan kelebihan dan kekuatan vokal untuk mencuri perhatian juri tetap, Ajay dan Aina Abdul serta juri jemputan iaitu maestro muzik tersohor, Datuk Ramli MS.

Kelebihan milik Nadeera tidak dapat disaingi Waode apabila empat juri, termasuk Presiden Netizen yang diwakili Jihan Muse, sepakat memilih Nadeera sebagai pemenang.

Kata Ramli MS, kedua-dua mereka telah mempamerkan aksi cukup cemerlang dalam pusingan Battle Mash-Up, namun kelebihan Nadeera, kualiti vokalnya stabil dan terjaga.

“Vokal dia stabil berbanding Waode. Itu kelebihan yang dimiliki oleh Nadeera,” kata Ramli MS.

PUSINGAN Battle Mash-Up menyaksikan persaingan sengit antara Nadeera dan pencabar terdekatnya, Waode.

Janji Nadeera

Umpama mimpi menjadi kenyataan. Rasa kurang keyakinan diri akhirnya berbalas saat Nadeera diumumkan sebagai juara BS5, sekali gus menggondol hadiah keseluruhan berupa wang tunai sebanyak RM100,000 dan trofi.

Bukan itu sahaja, Nadeera juga memperoleh sebuah lagu baharu dari komposer antarabangsa, Hyuk Shin yang pernah bekerjasama dengan ramai penyanyi berkelas dunia.

“Alhamdulillah. Impian saya menjadi kenyataan. Saya rasa sangat bersyukur memperoleh kejayaan ini. Memang program Big Stage menjadi impian saya selama ini dan akhirnya kemampuan saya terbukti.

“Saya berjanji, selepas habis program ini, saya tidak akan ‘hilang’ lagi dan akan terus berkarya untuk peminat semua. Insya-Allah atas bantuan pasukan saya hari ini, saya akan kembali.

“Saya berharap juga supaya orang ramai boleh menerima kehadiran saya dalam industri dan menghargai bakat yang saya ada,” ujarnya.

Penglibatan Nadeera di dalam BS5, yang juga menjadi program realiti keenam yang disertainya itu, diharap dapat membuka pintu rezeki buatnya untuk terus bersinar dalam industri seni hiburan tempatan.

Sejak bertahun-tahun lamanya, Nadeera cuba menempatkan namanya sebaris dengan nama penyanyi sedia ada, namun rezeki masih belum memihak padanya. Diharap Nadeera diberi peluang untuk bersinar.

Sayang jika bakat yang ada ‘terkubur’ begitu sahaja.

SUASANA pilu menyelubungi hati Nadeera apabila memberitahu pernah dikritik dan dihina netizen gara-gara rupa parasnya yang dikatakan tidak menawan.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN