fbpx

Bomoh perdaya wanita dituduh salah guna barang kemas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zahri (dua dari kanan) mengaku tidak bersalah menyalahgunakan barang kemas di Mahkamah Majistret Sungai Petani hari ini.

SUNGAI PETANI – Seorang bomoh lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas empat pertuduhan menyalahgunakan sejumlah barangan kemas bernilai RM5,144 untuk kegunaan peribadi sejak November tahun lalu.

Tertuduh, Zahri Ahamad, 50, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret, Nurul Ainna Ahmad.

Dia yang merupakan pesara kerajaan hadir di mahkamah dengan memakai baju T tanpa lengan.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menyalahgunakan seutas rantai leher emas bernilai RM1,394 milik Norisah Amin, 52, di sebuah kedai pajak gadai di Pekan Lama di sini kira-kira pukul 11.38 pagi, 29 November tahun lalu.

Bagi pertuduhan kedua, dia dituduh menyalahgunakan tiga bentuk cincin emas bengkok bernilai RM1,600 milik individu sama di sebuah kedai pajak gadai di Jalan Kampung Baru di sini kira-kira pukul 3.19 petang, 23 Jun lalu.

Sementara pertuduhan ketiga, bapa kepada dua orang anak itu didakwa menyalahgunakan seutas rantai tangan emas bernilai RM1,900 milik individu sama di sebuah kedai pajak gadai di Taman Ria di sini kira-kira pukul 1.55 petang, 23 Oktober lalu.

Tertuduh juga berdepan dengan pertuduhan sama membabitkan satu loket emas bernilai RM250 milik Roshaizatul Akma Ali, 29, di sebuah kedai pajak gadai di Bedong di sini kira-kira pukul 3.30 petang, 15 Oktober lalu.

Pertuduhan terhadapnya dilakukan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun serta dengan sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM14,000 bagi semua pertuduhan dan tertuduh tidak membayar jaminan dikenakan.

Kosmo! pada 31 Oktober lalu melaporkan gara-gara percayakan cakap bomoh, seorang kerani wanita kerugian RM45,000 apabila sebahagian barang kemasnya dilarikan lelaki yang dikenalinya ketika suspek melakukan ritual kononnya untuk menghalau makhluk halus di rumahnya baru-baru ini. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI