ALOR SETAR – Tiada kata mampu diungkapkan seorang wanita selain hanya memendam rasa dengan pelbagai gelaran termasuk ‘wanita mandul’ yang diterimanya hanya kerana belum memperoleh zuriat sekalipun sudah 20 tahun mendirikan rumah tangga.
Wanita yang mahu dikenali, Azrina, 43, berkata, panggilan sebegitu sangat mengguris hati dan sukar untuk diterima.
“Hanya Tuhan yang tahu betapa sedihnya apabila digelar mandul. Ia memberikan tekanan emosi, sedangkan saya dan suami sudah berusaha.
“Kami anggap tiada rezeki dan semua itu adalah ketentuan Ilahi,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Katanya, dia pernah beberapa kali mengalami keguguran selain menderita penyakit endometriosis tahap dua selain salah satu tiub fallopian (saluran peranakan) tersumbat, seterusnya menyumbang kepada masalah kesuburan.
“Saya jalani rawatan bagi merawat dua masalah tersebut sebelum saya dan suami bersetuju buat rawatan intrauterine insemination (IUI) atau permanian berhadas pada 2006 tetapi gagal.
“Selepas itu, kami buat keputusan untuk berusaha sendiri dan berserah kepada takdir. Suami tidak galakkan buat rawatan persenyawaan in-vitro (IVF) kerana bimbang emosi saya terganggu jika gagal,” ujarnya yang memberitahu kos IVF sekitar RM13,000 hingga RM20,000.
Menurutnya, dia bersyukur kerana suami menerima keadaannya dan tidak pernah mendesaknya untuk hamil.
Seorang pemilik restoran dikenali Zura, 34, pula berkata, dia dan suami belum dikurniakan cahaya mata meskipun sudah 16 tahun berkahwin.
“Pada awal perkahwinan, saya tidak terlalu fikir untuk hamil kerana pada masa itu masih muda. Selepas lima tahun berlalu, ibu minta saya berjumpa pakar kerana masih belum hamil.
“Bagaimanapun, suami pula enggan buat sebarang rawatan termasuk melalui perubatan kampung,” katanya.














