fbpx

Blackpink terpalit isu tuntutan Laut China Selatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penganjur konsert Blackpink di Hanoi meminta maaf kerana laman webnya menyiarkan peta menunjukkan tuntutan wilayah China di Laut China Selatan. – AFP

HANOI, Vietnam – Penganjur konsert Blackpink di Hanoi meminta maaf selepas laman webnya memaparkan peta menunjukkan tuntutan China di Laut China Selatan yang mencetuskan kemarahan rakyat Vietnam, lapor portal berita CNA semalam.

Kumpulan lima gadis megastar K-pop, Blackpink akan mengadakan dua konsert di ibu negara Vietnam itu akhir bulan ini.

Namun, awal minggu ini, laporan  di media sosial mengatakan iME selaku penganjur konsert itu  telah menggunakan peta  memaparkan sembilan  garis putus di laman webnya. Syarikat penganjur acara dan hiburan  itu beribu pejabat di Beijing

China sudah lama menggunakan peta sembilan garis putus untuk menggambarkan tuntutan Beijing ke atas hampir keseluruhan Laut China Selatan yang kaya dengan sumber asli sehingga menimbulkan perasaan tidak senang Hanoi.

Ini kerana Vietnam juga mempunyai tuntutan wilayah di Laut China Selatan.

Sebilangan netizen Vietnam di Facebook dan TikTok meminta orang ramai memulaukan  konsert itu.

Komen netizen di laman Facebook Blackpink Vietnam FC menyatakan: “Sebagai menyokong Vietnam, adalah lebih baik untuk kami tidak menghadiri rancangan hiburan anjuran iME.”

Seorang netizen lain menulis: “Ini melibatkan tuntutan wilayah sesebuah negara. Walaupun saya suka Blackpink, kita harus tinggikan suara kita.”

Bagaimanapun, semalam, sehari sebelum tiket konsert Blackpink mula dijual, Ketua Pegawai Eksekutif iME, Brian Chow  berkata dalam satu kenyataan bahawa insiden itu berpunca daripada salah faham.

“Imej peta di laman web tidak mewakili wilayah mana-mana negara dan kami menghormati kedaulatan serta budaya semua negara yang mana iME mempunyai program (hiburan).

“IME segera menyemak dan komited untuk menggantikan imej yang tidak sesuai,” tambah kenyataan sama. – Agensi

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI