PETALING JAYA – Mangsa buli ibarat bom jangka apabila mereka boleh mencetuskan tindakan di luar jangkaan, bukan sahaja kepada diri sendiri seperti membunuh diri, malah kepada orang lain yang akan turut menjadi mangsa.
Pakar Psikiatri dan Presiden Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (MMHA) Prof. Datuk Dr. Andrew Mohanraj berkata, kelakuan ganjil yang ditunjukkan mangsa buli sehingga sanggup membunuh juga berkemungkinan besar berpunca daripada gangguan psikotik yang dihadapi iaitu skizofrenia.
Menurutnya, kelakuan seperti mendengar suara bisikan, berhalusinasi serta perubahan kelakuan caranya berinteraksi dengan orang lain jelas menunjukkan simptom skizofrenia.
“Kebiasaanya lelaki berusia 18 tahun ke atas menghidapi penyakit ini, tetapi banyak juga kes remaja berusia 14 tahun ke atas didiagnos dengan skizofrenia, malah ada beberapa kes, kanak-kanak juga pernah menghidapinya.
“Pesakit sebegini perlu dirawat segera kerana berkemungkinan boleh mengakibatkan bahaya kepada orang sekeliling,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Tambahnya, kes skizofrenia yang dihidapi lelaki berusia di bawah 18 tahun bukanlah sesuatu yang menghairankan kerana banyak kes sebegini telah dilaporkan.
“Saya syorkan untuk pesakit dimasukkan serta-merta ke wad psikiatri remaja untuk dapatkan rawatan sewajarnya dan susulan.
“Besar kemungkinan masih boleh dirawat, namun perlu dikenal pasti sama ada pesakit berada di bawah pengaruh dadah atau ubat penenang atau mempunyai kerencatan akal,” katanya.
















