PADA Mei lalu, pengedar eksklusif jenama Subaru di Malaysia, TC Subaru Sdn. Bhd. telah memperkenalkan model kenderaan utiliti sukan (SUV), Forester 2023.
Pada majlis itu, empat varian ditawarkan untuk pasaran negara ini iaitu 2.0 i-L EyeSight, 2.0 i-L EyeSight GT Lite, 2.0 i-S EyeSight dan 2.0 i-S EyeSight GT Edition.
Baru-baru ini, penulis berpeluang memandu uji model SUV ini dengan varian 2.0 i-S EyeSight GT Edition.
Forester 2023 ini sebenarnya telah diperkemas pada bahagian luaran, dalaman dan beberapa cirinya telah dinaik taraf.
Untuk rekaan luaran, perubahan bahagian hadapan boleh dilihat pada lampu utamanya yang kelihatan lebih kecil dengan rekaan bampar hadapan lebih kemas.
Bahagian sisinya pula tiada perubahan ketara, selain daripada rim GT Edition bersaiz 18 inci dua tona yang lebih segak. Sejujurnya, penulis tidak minat rekaan rim sebelum ini.
Selain itu, skirting sisi juga masih sama dengan sebelum ini.
Rekaan bahagian belakang juga tampak masih kekal sama.
Untuk model pandu uji ini, ia hadir dengan kit badan yang juga telah diperkemas bagi memberikan lebih ciri aerodinamik.

Penulis difahamkan sistem suspensi juga telah ditala semula untuk memberikan pengendalian lebih lancar.
Masuk ke ruang dalam pula, ia didatangkan dengan kemasan GT Edition seperti tempat duduk dua tona. Tempat duduk bahagian hadapan juga dicop logo GT.
Model ini juga dilengkapi sistem keselamatan pencegahan baharu Subaru yang inovatif EyeSight 4.0.
EyeSight 4.0 lebih bagus berbanding sebelum ini dengan menjadi sepasang mata tambahan yang membantu pemandu.
Terkenal dengan ciri keselamatan dan dinamik pemanduannya, Forester generasi kelima yang canggih ini dilengkapi kamera stereo baharu yang ‘melihat’ hampir dua kali ganda berbanding versi sebelumnya. Jadi, pemandu akan berasa lebih selamat dan menikmati pemanduan lebih selesa.
Sambil mengekalkan teknologi teras Subaru dan lebih 100 ciri keselamatan, Forester baharu ini yang dipertingkat dengan EyeSight 4.0 Advanced Driver Assist Technology menawarkan sistem keselamatan canggih yang diperkemas sekali gus menjanjikan lebih keseronokan dan keselesaan pemanduan.

Antara ciri-ciri baharu pada EyeSight 4.0 Advanced Driver Assist Technology seperti Autonomous Emergency Steering, The Adaptive Cruise Control (ACC) dan Lane Departure Warning.
Sistem X-Mode juga telah dipertingkat supaya membantu pemandu mengatasi jalan yang kasar dan mencabar dengan sentuhan butang.
Ciri-ciri yang telah dipertingkat ini dapat melengkapkan sistem Symmetrical All-Wheel Drive (pacuan semua roda) Subaru untuk membolehkan pemilik Forester baharu memandu dengan lebih yakin, terutama di permukaan yang tidak rata atau condong yang mencabar.
Antara mod yang ditawarkan seperti ‘Snow/Dirt’ dan ‘Deep Snow/Mud’ untuk disesuaikan dengan situasi pemanduan pada ketika itu.
X-Mode baharu mampu bertukar kepada mod ‘siap sedia’ apabila kelajuan melebihi 40 kilometer sejam (km/j) dan seterusnya menyala semula apabila kelajuan menurun di bawah 35 km/j. Sebelum ini, X-Mode akan dinyahaktifkan pada 40km/j dan perlu diaktifkan semula secara manual.
Subaru Forester ini menawarkan ruang simpanan barang bersaiz 520 liter. Agak luas kerana model ini cuma lima tempat duduk.
Ruang dalaman terasa luas kerana panjang Forester ini ialah 4,625 milimeter (mm), lebar (1,815 mm) dan tinggi (1,730mm).
Masih menggunakan enjin boxer 2.0 liter petrol dengan transmisi jenis Lineartronic CVT, kombinasi itu hasilkan kuasa maksimum 156 PS pada 6,000 rpm dan tork tertinggi 196Nm pada 4,000 rpm.








