fbpx

Hargailah pelabur setia golongan B40

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Jika diberi ruang dan peluang untuk diputarkan masa kembali kepada alam remaja dan berada dalam fasa awal pekerjaan pastinya ramai yang mahu menjadi seorang yang ‘perfect’ lengkap daripada segi pengurusan kewangan yang berhemah dan memfokuskan kepada pelaburan.

Mereka pastinya menjadi seorang yang aktif melabur contohnya dalam produk Amanah Saham Bumiputera (ASB), membuat simpanan di Tabung Haji dan mendaftarkan diri untuk menunaikan haji pada usia muda, bertenaga dan sihat.

Mereka juga pastinya membeli insurans atau takaful ketika tahap kesihatan yang baik dengan nilai premium yang murah serta membeli aset dengan kadar pinjaman bulanan yang masih rendah.

Pastinya, segala inisiatif tersebut akan memberi manfaat bukan sahaja kepada diri sendiri tetapi kepada anak, cucu serta generasinya masa depan, namun itu semua angan-angan ‘Mat Jenin’ bagi mereka yang sudah terlajak umur.

Sebenarnya budaya menabung yang sentiasa diajar oleh orang dulu-dulu agak ketinggalan tetapi itulah juga yang menjadi penyelamat kepada sesebuah keluarga apabila berdepan dengan masalah kewangan atau kecemasan.

Jadi tidak hairanlah Permodalan Nasional Berhad (PNB) memiliki kumpulan pelabur yang mengamalkan simpanan berdikit-dikit ini dan jumlahnya telah bertambah kepada lebih RM300,000 atau mungkin ada yang berjaya mencecah sehingga jutaan ringgit.

Menurut Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn dalam satu taklimat media di Menara PNB, Kuala Lumpur baru-baru ini mendedahkan bahawa kumpulan pelabur yang memiliki pelaburan lebih daripada RM300,000 tidak semestinya daripada golongan T20 kerana ramai daripada mereka terdiri daripada orang biasa-biasa yang bekerja sebagai kakitangan kerajaan dan pekerja bawahan sahaja.

Berkat disiplin dan kuasa menabung yang dikaitkan dengan pepatah sikit-sikit lama-lama jadi bukit ternyata menjadi kenyataan.

Sehubungan itu, dicadangkan agar firma pelaburan terbesar itu memberi anugerah bernilai untuk menghargai kesetiaan mereka yang terus melabur meskipun dalam keadaan kegawatan sehingga mampu mencecah kepada ratusan ribu ringgit.

PNB sememangnya ada memberi bonus beserta agihan dividen kepada pelaburnya tetapi hargailah mereka dengan pendekatan lain yang agak unik bagi menaikkan imej mereka sebagai idola.

Mengelak daripada mendedahkan nilai pelaburan mereka kepada umum sebagai menjaga keselamatan, sebenarnya kumpulan ini perlu dijadikan contoh khususnya kepada golongan muda tentang cara menabung dan menguruskan kewangan mengikut kemampuan masing-masing.

Gunakanlah platform media sosial yang popular kini untuk menyampaikan mesej PNB dan meningkatkan pengetahuan masyarakat secara santai, mudah dan menarik agar sedikit sebanyak ilmu berguna itu dapat dikongsi dengan lebih ramai orang lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN