PETALING JAYA – Rata-rata penuntut universiti sepenuh masa dan golongan belia berusia 18 hingga 20 tahun menyifatkan bantuan kredit eBelia Rahmah RM200 akan dijadikan wang perbelanjaan akhir semester selain membeli keperluan menyambut Aidiladha esok.
Bantuan kredit yang dimasukkan menerusi tiga penyedia perkhidmatan e-dompet iaitu Boost, Setel dan Touch ‘n Go boleh ditebus di aplikasi tersebut bermula pukul 8 pagi kelmarin.
Penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM), Nur Amira Mohd. Hedzer, 23, berkata, dia merancang menggunakan wang bantuan ini bagi membeli barangan keperluan diri dan selebihnya untuk disimpan.
“Saya rancang dengan bantuan RM200 ini saya nak beli beberapa barang keperluan diri dan alatan belajar dan selebihnya disimpan untuk kegunaan masa akan datang.
“Alhamdulillah, bantuan kali ini tepat pada masanya apabila kami pelajar dah hujung semester, maknanya duit bantuan awal semester dah habis digunakan.
“Lagipun, akan datang kita mahu menyambut hari raya korban pula, jadi bolehlah beli apa yang patut dengan duit ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! kelmarin.
Berkongsi kegembiraan sama, pembantu kedai, Muhammad Nukman Hazim, 19, berkata, pemberian bantuan eBelia Rahmah RM200 yang boleh ditebus bermula kelmarin diibaratkan seperti ‘durian runtuh’.
Menurutnya, sejujurnya dia amat memerlukan wang poket untuk menampung kos perjalanan ulang-alik ke tempat kerja.
Ujarnya, dia baru sahaja memulakan kerja di sebuah kedai menjual minuman tenusu dua minggu lalu dan masih belum mempunyai gaji untuk dijadikan wang poket.
Seorang lagi, penuntut UiTM, Muhammad Afiq Mohd. Asri, 23, mencadangkan agar lebih banyak bantuan disalurkan kepada belia dan mahasiswa pada masa akan datang.
“Kehidupan sekarang sangat mencabar, kami golongan mahasiswa ini banyak memerlukan wang untuk membeli keperluan belajar, tampung perbelanjaan makan dan minum semasa di universiti, jadi sekurang-kurangnya diberi RM500 atau diperbanyakkan lagi bantuan kredit secara one-off ini,” katanya.
Tambahnya, dia mengharap bantuan eBelia Rahmah ini disalurkan lebih awal berbanding semalam.
“Saya dan rakan-rakan mahasiswa lain sejujurnya memerlukan bantuan ini lebih awal paling tidak bulan Mac lalu, sebab ada pelajar tahun akhir mahu jadikan sebagai duit belanja memulakan tempoh praktikal,” luahnya.
Di Kuala Terengganu, pelajar UiTM kampus Chendering, Muhammad Azran Imran, 19, berkata, pemberian kredit RM200 melalui program e-Belia Rahmah amat disyukuri.
Anak sulung dari tiga beradik itu berkata, wang itu akan digunakan sepenuhnya membeli buku-buku rujukan dan peralatan bagi kursus Diploma Sains Komputer yang sedang dipelajari.
“Alhamdulillah, duit ini dapat meringankan beban kewangan kedua ibu bapa saya pada bulan ini dan saya akan berjimat-cermat menggunakannya,” katanya.
Di Sungai Petani, seorang penerima, Fatin Nur Amani Mohd. Sofian, 20, berkata, wang RM200 itu telah dikredit ke akaunnya awal pagi kelmarin.
Katanya, wang itu akan digunakan untuk membeli barang keperluan diri.
“Ia sangat membantu meringankan beban saya yang masih belum bekerja kerana tidak lagi perlu meminta wang bapa untuk membeli barang penjagaan diri.
“Saya berharap bantuan kepada golongan belia ini dapat diteruskan serta diperluaskan lagi,” ujarnya.
















