Paling lama orang boleh baca doa pun kira-kira lima minit. Itupun puas tadah tangan. Penat angkat, tongkat dengan siku. Habis siku, letak tangan atas paha. Kalau jenis malas, angkat tangan sekejap saja.
Doa qunut yang tak sampai seminit pun ramai yang dah rasa lenguh. Lagi lama imam baca, lagi banyak hati dia berkata-kata. Letih nak mengangkat tangan, sudahnya ‘tumpangkan’ lengan pada rusuk kiri dan kanan.
Situasi itu sudah cukup menggambarkan bagaimana lemahnya kita sebagai manusia. Segagah-gagah ahli sukan bina badan, dia tewas dengan mengantuk. Sehandal-handal menteri Fasola, dia kalah dengan buluh runcing.
Jika seminit pun kita dah tak mampu, apa pula yang kita akan lakukan selama berada di Arafah?
Bermula selepas masuknya waktu zuhur pada 9 Zulhijah hingga subuh, kita digalakkan berdoa kepada Allah kerana ketika itu dibukakan pintu taubat dan langit untuk menerima pengharapan jemaah haji yang berwukuf.
Tetapi bagi petugas haji, kami hanya akan berada di Arafah sehingga 11.45 malam sebelum bergerak ke Muzdalifah. Tempoh 11 jam itu ternyata mendebarkan dan lama.
Selain memohon keampunan dan meminta dimasukkan ke syurga, pelbagai permintaan sama ada untuk diri sendiri atau yang dikirim kenalan pasti akan disebut sehingga tidak ada lagi yang hendak diminta.
Katakanlah semua itu dilakukan dalam tempoh sejam. Apa nak buat lagi untuk baki 10 jam itu? Baca al-Quran, berzikir, berselawat, solat sunat dan lain-lain belum tentu dapat memenuhi baki waktu yang ada kerana kita lemah dan ada batasnya.
Sebab itu, Tabung Haji berkali-kali mengingatkan kepada jemaah supaya membuat perancangan yang teliti sejak dua atau tiga minggu sebelum wukuf lagi agar tidak membazirkan waktu keemasan yang didambakan oleh seluruh umat Islam di dunia ini.
Wahai jemaah haji, bersyukur dipilih berada di Tanah Suci ketika orang lain masih terkial-kial menunggu giliran dan mengumpul wang bagi melengkapkan Rukun Islam kelima itu.
Anggaplah ini kali terakhir kita mengerjakan haji kerana tiada siapa tahu apa akan jadi pada masa akan datang. Pantang diucapkan ‘ah, nanti ada masa boleh pergi lagi’.
Islam mengajar kita supaya menganggap segala ibadat yang dilakukan itu merupakan yang terakhir dikerjakan. Jika ada perasaan itu, maka kemanisan iman akan meresapi dalam jiwa.
Bagaikan kita tahu esoknya kita akan mati, tidakkah kita akan bersungguh-sungguh berdoa dan beribadat?
Sebab itu pentingnya kita mencari guru yang mendidik jiwa dan rohani melalui amalan serta zikir tertentu supaya kita tidak ternganga-nganga ketika orang lain asyik dengan ibadat mereka.
Jangan disebabkan kita sudah mengerjakan haji maka kita menganggap tidak perlu menambah ilmu mengenainya kerana amalan setahun sekali itu tidak mudah hinggap selamanya di dalam dada apatah lagi kembali ke Tanah Suci selepas 10 tahun.















