fbpx
RENDY PANDUGO

Rendy Pandugo, lambat panas tapi puas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

NAMA penyanyi Indonesia, Rendy Pandugo mungkin masih asing, namun dalam masa sama semakin mengukuhkan pengaruh di jiwa pencinta muzik di Malaysia.

Bagi penggemarnya, setiap seleksi dendangan penyanyi berusia 38 tahun itu terasa dekat dan mempunyai identiti tersendiri.

Daripada judul The Journey hingga kepada penghasilan dua mini album, See You Someday dan Air, setiap satu membariskan lagu yang kental elemen cinta.

Dikenali dengan dendangan berbahasa Inggeris, jauh di sudut hatinya, Rendy tetap ingin tampil dengan single bahasa Indonesia bagi memenuhi impian peribadi.

“Sejujurnya saya pernah trauma ketika menulis lagu bahasa Indonesia ketika bersama sebuah kumpulan suatu ketika dahulu kerana berasa kurang bagus bermain perkataan.

SEBANYAK 16 lagu yang dipersembahkan oleh Rendy ketika mengadakan persembahan di The Paddock, Petaling Jaya baru-baru ini.

“Bahasa Indonesia itu terlalu indah, cuma saya yang ketika itu kurang yakin dengan kemampuan sendiri. Saya takut tidak dapat mencapai standard yang diharapkan.

“Jadi apabila muncul dengan buah tangan pertama, sepenuhnya saya memilih naskhah Inggeris yang saya perkataannya sudah biasa saya mainkan.

“Seiring masa dan selepas beberapa tahun, sekarang saya sudah semakin yakin menghasilkan karya bahasa ibunda. Lagu itu bakal diluncurkan dalam masa terdekat,” katanya dalam kunjungan ke studio HibGlam, baru-baru ini.

Penyanyi asal Medan yang popular dengan lagu Silver Rain diterbangkan khas ke negara ini bagi merealisasikan Konsert Rendy Pandugo Live in Kuala Lumpur pada 10 Jun lalu.

Ramah melayani setiap persoalan, lelaki bergelar bapa kepada seorang cahaya mata itu tanpa berselindung mengakui pernah diserang anxiety atau kemurungan disebabkan bimbang muziknya tidak diterima khalayak.

RENDY mengakui berdepan masalah tekanan perasaan dan anxiety berpunca daripada sikap yang suka memendam rasa dan kurang keyakinan diri. – MUHAMAD IQBAL ROSLI
& SADDAM YUSOFF

Rasa rendah diri, canggung serta kurang keyakinan pada awal peralihan ke fasa karier solo tercetus disebabkan sikapnya yang suka memendam perasaan.

Namun situasi semakin membaik apabila dia bersahabat dengan rakan seperjuangan seperti Pamungkas yang lebih dahulu membina nama sebagai penyanyi.

“Kami sudah kenal lama, sekitar empat tahun. Dia sangat kreatif dan memberi inspirasi. Kami banyak bercerita dan dari situ perasan rasa rendah diri hilang dan saya semakin bersemangat.

“Saya juga semakin percaya, kita selalu ada ruang untuk menyerlah, cuma kena berusaha serta percaya diri.

“Namun apabila dikatakan punya persamaan dengan Pamungkas, itu bukan tekanan malah kami ada bikin lagu berjudul Friends,” akuinya yang teruja pertama kali menghiburkan peminat Malaysia.

PERSAHABATAN dengan pemuzik serta penyanyi seangkatan, Pamungkas yang menjadi teman berkongsi cita rasa muzik dan bertukar fikiran membantu Rendy menangani masalah anxiety.

Lambat panas

Perkenalan tentang siapa Rendy diperkukuhkan menerusi persembahan menerusi konsert yang. berlangsung di The Paddock, Petaling Jaya baru-baru ini. Biarpun ada ruang kosong seperti kurang kehadiran peminat, namun tidaklah mengecewakan.

Konsert sepatutnya dimulakan pada pukul 8 malam, namun dianjakkan 20 minit kemudian sementara menunggu ruangan dewan dipenuhi penonton.

Begitupun, situasi tersebut bukan bermakna Rendy tidak bagus, sebaliknya faktor kurang promosi antara punca ramai kurang tahu kedatangannya ke sini.

Melihatkan energinya di pentas selain untaian lagu bersama santunan vokalnya cukup meremangkan jiwa setiap penonton yang hadir.

Antara yang terkandung dalam repertoire termasuk Secret, Friends, Bad Company, 7 Days, By My Side, Sebuah Kisah Klasik, Mr. Sun dan Home.

Biarpun ruangan dewan tidak dipenuhi dengan lautan penonton seperti yang berlaku pada konsert Ella pada waktu sama, Rendy tetap tampil dengan momentum persembahan yang padu.

Peminat tegar penyanyi merangkap komposer ini nyata puas dibuai alunan lagu daripada figura kesayangan mereka dengan sepenuh perasaan.

Bagai dijampi, masing-masing berdendang bersama tatkala lagu Cinta, Heaven, Cut The Line, Wonder, Underwater, I Dont’ Care dan Morning Light yang dipersembahkan.

Silver Rain, sebuab lagu wajib pada setiap persembahan menjadi penutup Konsert Rendy Pandugo di Malaysia yang juga diumpamakan sebagai mewakili perasaannya terhadap sokongan ramai.

Terdahulu, Gudang Space @ The Paddock dipanaskan dengan persembahan istimewa daripada penyanyi Talitha dan Iqbal yang membuat kemunculan istimewa dengan seleksi dendangan popular masing-masing.

BIARPUN ada kekurangan dari segi kehadiran penonton, konsert Rendy Pandugo Live In Kuala Lumpur baru-baru tetap berlangsung penuh tenaga dengan lagu-lagu yang membuai rasa.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN