Emily menerima anugerah Craft Champion pada Hari Kraf Kebangsaan 2023 pada Mac lalu.

Emily tidak malu jadi tukang kraf

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

“SAYA menolak untuk bekerja di bandar selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan bantu ibu untuk siapkan kraf tangan.

“Pada ketika itu, saya pernah diberi upah sebanyak RM50 daripada ibu kerana membantunya dan merasakan sudah ‘kaya’ pada umur sebegitu.”

Itu ungkap wanita kelahiran Keningau, Sabah, Emily Jeneble @ Nurfarahain Abdullah kala mengimbas penglibatan awalnya dengan seni kraf anyaman salingkawang dan buluh hingga akhirnya bergelar usahawan bidang tersebut.

Wanita keturunan Dusun Minokok dari Kampung Batu Lunguyan, Keningau ini meraih perhatian ramai baru-baru ini apabila diangkat sebagai Craft Champion atau Juara Kraf pada Hari Kraf Kebangsaan 2023.

Memiliki pelbagai anugerah sebelum ini antaranya Malaysia Good Design Award 2019 dan Anugerah Kepimpinan Wanita Luar Bandar 2022, kraf-kraf dihasilkannya mencatat kejayaan dengan beg anyaman keluarannya juga pernah memikat hati Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang menggunakannya ketika membentangkan Bajet 2022 sewaktu beliau menjawat Menteri Kewangan.

Bercerita lanjut detik-detik awal menceburi perniagaan kraf itu, Emily berkata, dia mula membantu ibunya yang juga suri rumah mengusahakan kraf itu yang merupakan seni warisan nenek moyang untuk dijual.

Katanya, minat dalam bidang kraf dan menganyam bahan rimba untuk dijadikan cenderahati mula berputik sejak usianya 17 tahun.

“Kalau ikutkan, selepas SPM, biasanya kawan-kawan sekampung semua akan berhijrah ke bandar untuk mencari kerja sebelum menyambung pengajian atau sebagainya.

“Tetapi saya memang menolak ajakan mereka dan nekad bantu ibu di rumah menyiapkan tempahan. Lagipun saya kasihan dengan ibu kerana dia membuat semuanya sendiri dan ada kalanya tempahan yang diterima lambat disiapkan dari hari dijanjikan,” katanya.

Anak keempat daripada sembilan beradik ini tidak pernah menyesal dengan jalan yang dipilih sehinggalah dirinya mampu bergelar usahawan.

Katanya, bermula 1999, dia sudah mula berani menerima lebih banyak tempahan bersama ibunya dan serius melakukannya secara besar-besaran.

Justeru, beberapa tahun pengalaman yang ditimba bersama ibunya itu membuatkannya mula jatuh hati dengan dunia kraf hingga nekad untuk dijadikan sebagai sumber pendapatan utama.

“Selepas beberapa tahun saya belajar menganyam dengan ibu dan memenuhi tempahan pelanggan, saya dapat rasakan inilah minat dan dunia saya.

“Justeru, saya beranikan diri untuk mendaftarkan perniagaan sendiri secara sah mengikut apa yang kerajaan tetapkan. Selama ini kami berniaga di tamu (pasar) sahaja tanpa ada lesen,” katanya yang menggunakan nama Seri Elf Enterprise sebagai perniagaan milikan tunggalnya.

Ketika itu iaitu sekitar 2005, dia memfokuskan tiga produk tradisional iaitu tampi padi, topi tradisional dan bubu ikan, namun dari semasa ke semasa berlaku evolusi dan semakin banyak jenisnya termasuk beg. Hingga kini, lebih 30 rekaan kraf dikeluarkan.

“Kita memang bekerjasama rapat dengan Kraftangan Malaysia. Mereka sentiasa sokong komuniti usahawan kraf di kampung saya ini dari segala aspek.

Emily mencari bahan rimba seperti salingkawang untuk dibuat kraf anyaman di kampungnya di Keningau.

“Contohnya dari aspek bahan mentah buluh rimba, warna, proses pembuatan dan pemasaran produk,” katanya.

Bercerita mengenai penglibatan dalam pertandingan dan pertunjukan, Emily berkata, dia mula aktif menerusi penyertaan yang dianjurkan pihak Yayasan Sabah dan Kraftangan Malaysia yang sering datang ke kampung.

“Mereka biasanya akan adakan kursus, kelas dan seminar untuk kami belajar. Mereka juga akan beritahu mengenai pertandingan dan meminta kami libatkan diri. Jadi, dari situlah semangat itu mula hadir dan sebenarnya bertanding itu secara sihat.

“Pada masa sama, kami masuk pertandingan kerana mahu memuaskan hati dengan lakukan yang terbaik. Bila menang peringkat kampung, kami dibawa ke peringkat daerah, kemudian negeri hinggalah ke peringkat kebangsaan atau nasional,” katanya.

Kata Emily, dari situ jugalah dia mula membina keyakinan diri, selain bertukar buah fikiran bersama usahawan dan tukang kraf lain. Pejam celik pejam celik, ujar Emily, daripada bakat dan rezeki dikurniakan, dia kemudian mengupah pekerja tetap, kontrak dan tukang kraf bagi membantu menyiapkan tempahan.

“Alhamdulilah daripada rezeki yang saya dapat, saya kongsi dan pulangkan semula kepada komuniti setempat dengan melantik mereka bekerja membantu perusahaan yang saya hasilkan.

“Hingga kini, saya ada 12 kakitangan yang mana empat daripada mereka staf tetap dan bakinya seramai lapan orang kakitangan kontrak,” katanya.

Ujarnya lagi, dek kerana kepercayaan, peluang dan ruang yang diberikan, dia turut pernah membawa produk anyaman buluh seperti beg dan pelbagai lagi koleksi ke luar negara.

Antaranya di The Asean Small and Medium Sizes Cultural Enterprises Project di Manila, Filipina pada 2018, Malaysia Festival di Kun Square, China pada 2017, Bazaar Berlin 2015 di Messe Berlin, Jerman dan L’Artigiano de Fiera di Milan, Itali pada 2014.

“Saya bangga dan tidak malu jadi tukang kaf,” ungkapnya.

Atas usaha dan jasanya dalam merancakkan pertumbuhan ekonomi dalam kalangan komuniti setempat Emily dianugerahkan sebagai penerima anugerah khas, Craft Champion.

Emily merupakan usahawan yang banyak membantu wanita dan belia di kampungnya dan di kawasan luar bandar untuk memanfaatkan kemahiran anyaman tradisional itu yang bukan sahaja menjadi peninggalan nenek moyang mereka tetapi juga penjana nafkah segelintir isi rumah.

Emily dipilih Kraftangan Malaysia sebagai Craft Champion kerana usaha dan jasanya mengangkat usahawan kraf sekali gus menggerak dan memajukan komuniti kraf setempat ke tahap lebih tinggi menerusi aspek pembangunan produk, kemahiran komuniti serta pemasaran secara fizikal dan digital.

“Komuniti kraf memainkan peranan penting sebagai peneraju yang berkemampuan meningkatkan daya saing dengan menghasilkan produk kraf lebih berinovasi sama ada dari segi idea mahu pun rekaan agar sentiasa relevan.

“Pemerkasaan komuniti adalah sangat penting bagi mengukuhkan warisan dan budaya kita ini. Saya yakin, jualan akan terus meningkat dengan penglibatan lebih ramai usahawan dan komuniti kraf,” katanya.

Ditebak adakah dia akan terlibat dalam seni kraf sampai bila-bila, Emily berkata, selagi dia mampu dan diberikan tenaga serta kesihatan yang baik oleh Tuhan, selagi itulah dia akan terus menyumbang bakti.

“Apa yang selalu saya lakukan adalah sentiasa mencari jalan untuk mendapatkan dana bagi memberi latihan kepada generasi muda agar kraf warisan dikenali sampai bila-bila.

“Ia seiring penerimaan anak muda ke atas kraf. Di kampung tempat saya membesar, boleh dikatakan golongan muda masih lagi mahu mempelajari tentang kraf anyaman buluh.

“Bagi saya, selagi kita minat dan mempunyai kesedaran pentingnya menjaga warisan nenek moyang, maka perlulah kita mempertahankan dan memperjuangkan identiti asal usul budaya kita,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN