PETALING JAYA – Bermula sebagai sebuah kedai runcit yang menjual pelbagai barangan harian seperti gula-gula, surat khabar dan alat tulis di Kajang, Selangor pada tahun 1968, CzipLee meneruskan legasi perniagaan keluarga dengan melalui pelbagai cabaran.
Kini perniagaan tersebut dioperasikan oleh generasi baharunya, Jason Chen dan Alvin Chen yang kini memegang jawatan Pengarah Eksekutif di syarikat berkenaan.
CzipLee berkembang daripada sebuah kedai kecil kepada premis empat tingkat dengan menawarkan pelanggan pelbagai jenis buku dan alat tulis termasuk alat tulis berjenama yang berkualiti tinggi, peralatan melukis, perkhidmatan mencetak serta produk gaya hidup.

Mengikut perubahan trend semasa, pelanggan kini boleh menyemak imbas inventori CzipLee yang melebihi 70,000 jenis di mana-mana kedai mereka di Lembah Klang dan Johor.
Pernah diuji dengan pelbagai bencana seperti banjir pada tahun 2011, kebakaran di kedai CzipLee di Bangsar pada tahun 2016 dan pandemik pada tahun 2020 telah menyaksikan merekamenghadapi pelbagai kerugian sehingga pernah membuat pertimbangan untuk menutup perniagaan atau membina semula kedainya.
“Insiden luar jangka yang dihadapi CzipLee dalam mengharungi tahun demi tahun banyak mengajar keluarga dan pasukan kami betapa pentingnya untuk kekal bersemangat, namun fleksibel dalam menghadapi kesusahan.
“Kami juga terpaksa membuat keputusan untuk melepaskan kedai dua tingkat lot sudut yang merupakan mercu tanda kami di Bangsar, Kuala Lumpur.
“Ia bukanlah keputusan yang mudah untuk dibuat, namun satu langkah strategik perlu dibuat bagi CzipLee menambah baik nisbah hutang dengan ekuiti untuk terus melangkah ke hadapan,” jelas Alvin dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini baru-baru ini.
Tambah beliau, selepas pandemik reda, jualan tidak lagi setinggi seperti waktu sebelum pandemik.

Melihat kepada corak perubahan pelanggan, CzipLee telah memperbaharui strategi demi memastikan perniagaannya dapat bertahan.
Sehubungan itu, pihaknya telah mengambil masa untuk melabur dan memasang strategi membangunkan konsep baharu bagi outlet CzipPlus oleh CzipLee, yang baru diubah suai di Bangsar.
Tidak lagi terikat dengan lokasi fizikal, CzipLee kini tertumpu kepada kedai konsep dan kedai pop-up serta setiap kedainya menawarkan pilihan produk alat tulis, seni lukis dan gaya hidup yang unggul.
Rangkaian kedai CzipLee terdiri daripada CzipLee Southkey yang menawarkan alat penulisan, jurnal dan bengkel bermusim yang berpangkalan di Johor.
CzipPetit, yang terletak di Bangsar Village 2 pula menawarkan alat tulis umum, buku-buku hinggalah bahan untuk hobi jurnal.
CzipPlus, kedai konsep terbaharunya di Jalan Telawi adalah yang terunggul dengan pilihan istimewa alat menulis, produk dakwat, seni halus serta perkhidmatan mencetak.
CzipLee juga mempunyai kedai pop-up di Jippuri, Pavilion Bukit Jalil yang menawarkan alat tulis Jepun yang eksklusif. -KOSMO!ONLINE














