PELBAGAI alasan dan sebab yang membuatkan sebuah ikatan pernikahan itu terlerai begitu sahaja.
Kadangkala alasan yang didengari juga begitu pelik hingga membuatkan kita termenung memikirkannya.
Misalnya apa dilalui Ros (bukan nama sebenar) yang kerap kali terkenangkan rumah tangga hampir tiga tahun bersama suami yang karam akhirnya.
Berkongsi peristiwa malang dan hitam tersebut, anak jati kelahiran Sungai Siput, Perak itu menyifatkan boleh dikatakan tiada langsung sekelumit kebahagiaan dikecapi dirinya sejak hari pertama bergelar isteri.
“Saya diperkenalkan dan disatukan dengan Ahmad (bukan nama sebenar) atas persetujuan kedua-dua orang tua kami.
“Suami sebelum ini pernah berkahwin tetapi bercerai kerana isterinya meninggal dunia akibat kemalangan. Mereka juga tidak dikurniakan anak sepanjang berkongsi hidup.
“Saya pula tidak malu mengakui umur sudah sedikit lanjut. Jadi, apa yang disusun keluarga saya terima sahaja. Waktu itu umur pun sudah menjangkau 42 tahun,” katanya.
Meneruskan kisah, Ros memberitahu, dia memang tidak pernah mengenali hati budi Ahmad hingga hari dinikahkan, tetapi tetap menerimanya atas aturan keluarga dan niatnya yang mahu menamatkan zaman bujang.
Cerita Ros yang bertugas sebagai pembantu am di salah sebuah agensi kerajaan, dia perasan sejak hari pertama nikah, suaminya seorang yang suka berurut.
“Boleh dikatakan suami kerap kali berurut dan hari-hari. Tapi biasanya dia akan berurut di luar selepas habis kerja.
“Suami berniaga sendiri. Jadi masanya juga agak fleksibel dan tidak terkejar-kejar, tidak seperti saya.
“Saya juga yang asalnya seorang yang tidak pandai mengurut jadi pandai mengurut disebabkan suami. Boleh kata, setiap hari tanpa kira siang dan malam dia akan minta saya mengurutnya,” ujarnya.

Luah Ros lagi, dia mengakui memang tidak pandai mengurut dan sering kali dimaki hamun suami secara kasar dengan kata-kata berbaur carutan.
Beritahu anak tunggal itu lagi, sikap panas baran suaminya itu mula ditunjukkan selepas beberapa bulan berkahwin dan tinggal bersama.
“Masa awal-awal kahwin, suami tidak pernah menaikkan suara, tetapi beberapa bulan selepas itu dia mula tunjuk belang.
“Berapa kali saya kena hamun disebabkan tidak sedap mengurut seperti apa yang dimahukan.
“Walau sering dimaki, saya tetap turutkan walaupun kadangkala penat di tempat kerja belum sempat hilang. Boleh dikatakan di rumah saya dilayan mengalahkan ‘bibik’.
“Tapi saya tetap bersabar dan tak pernah melawan suami. Saya turutkan sahaja apa yang dia mahukan. Urut pula pasti berjam-jam dan tidak boleh tinggal selagi tidak diberi izinnya,” luah Ros.
Katanya, berbulan-bulan dia diperlakukan sedemikian rupa, namun dia langsung tidak pernah mengeluarkan sedikit pun kata-kata amarah apatah lagi bertindak di luar kawalan.
“Hampir tiga tahun saya diperlakukan sebegitu. Jadi ‘babu’ dan tidak ubah seperti kuli bataknya.
“Saya jalankan semua tanggungjawab saya. Bayangkan sepanjang tempoh perkahwinan, cuma dua kali dia beri saya nafkah batin dan bersama dengan saya.
“Suami ada beritahu yang saya dah tua dan tak sesuai mengandung serta minta saya untuk sedar diri.
“Tapi itu semua saya letak ke tepi dan masih boleh terima sampailah ada satu hari yang membuatkan saya bertindak mempertahankan hak dan bersuara,” katanya.
Cerita Ros, rupanya sepanjang ketiadaan dia di rumah dan bekerja siang hari, suami kerap membawa perempuan tukang urut tidak kira muda atau tua untuk melayani permintaannya.
“Saya memang tidak tahu perkara ini. Tapi mungkin satu hari itu Allah nak tunjuk apa yang suami lakukan selama ini.
“Saya pulang ke rumah kerana ada dokumen penting pejabat yang tertinggal. Saya terkejut apabila ternampak dua pasang kasut wanita di dalam rumah bersebelahan pintu.
“Apabila saya naik ke tingkat atas alangkah terkejutnya saya melihat dua orang wanita sedang melayan suami saya.
“Seorang yang sedikit berumur sedang mengurut kepala suami hanya dengan berkemban. Seorang lagi yang muda sedang mengurut kemaluan suami,” ujarnya yang terkejut.
Melihat kepada kejadian tersebut, suami terus bertindak menghalau saya dari rumah dan tidak benarkan saya pulang ke rumah.
Ujar Ros lagi, tanpa berfikir panjang dan setelah membuat keputusan masak-masak serta berbincang dengan keluarga, dia nekad untuk meminta cerai melalui mahkamah.
Selepas beberapa bulan turun naik memfailkan perceraian, akhirnya mahkamah membenarkan perceraian.
Sejak itu, Ros nekad untuk tidak lagi mahu berkahwin semula kerana trauma diperlakukan sedemikian rupa.













