PETALING JAYA – Keghairahan orang ramai mencari jodoh di pelbagai platform media sosial terutama TikTok perlu dilakukan secara bertanggungjawab dan bukan sekadar untuk suka-suka.
Itu antara pesanan seorang wanita dikenali sebagai Erika yang mengakui pernah jatuh hati dengan seorang lelaki berstatus suami orang yang dikenali dalam satu acara live TikTok baru-baru ini.
Menurut wanita itu, apa yang mengecewakkannya apabila lelaki berkenaan bersikap tidak jujur ketika memperkenalkan diri.
“Risiko berkenalan melalui media sosial ini memang banyak dan saya sendiri pernah laluinya sebelum ini.
“Di awal perkenalan, semua baik-baik sahaja tanpa ada benda yang perlu diragui.
“Namun selepas beberapa fasa sehingga menunggu masa untuk bertemu, lelaki tersebut tiba-tiba mendiamkan diri. Selepas diselidik, rupa-rupanya lelaki itu sudah beristeri dan hanya suka-suka mencari jodoh di media sosial,” katanya.
Tambah Erika, sejak itu dia lebih berhati-hati dalam memilih individu yang ingin dikenali terutama di TikTok kerana enggan lagi menjadi mangsa lelaki berhidung belang.














