LONDON – Pakar-pakar kesihatan awam Britain memberi amaran mengenai ancaman tuberculosis atau tibi yang kini menjadi penyakit berjangkit paling membawa maut di dunia dan mengatasi Covid-19, lapor akhbar Daily Star kelmarin.
Perkhidmatan Kesihatan Nasional (NHS) telah menghentikan pemberian vaksin BCG bagi melawan tibi kepada semua kanak-kanak di Britain pada 2005. Ia kini diberikan kepada kanak-kanak yang melakukan perjalanan ke negara-negara berisiko dan terjejas akibat wabak tibi.
Terkini, pakar penyakit berjangkit Britain, Profesor Robert Wilkinson mengetuai desakan global untuk mencari vaksin satu dos bagi mencegah jangkitan tibi bersama institusi penyelidikan di Amerika Syarikat, India, Vietnam, Indonesia, Madagascar dan Ivory Coast.
“Tidak dapat dinafikan bahawa tibi sekali lagi akan menjadi penyakit berjangkit yang paling membawa maut di dunia.
“Kita perlu memastikan bahawa semua kemasukan ke Britain secara sah atau haram, mempunyai akses kepada penjagaan kesihatan dan sekiranya perlu, mendapatkan saringan serta rawatan tibi,” ujarnya.
Data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 2021 menunjukkan bahawa kematian tahunan akibat tibi adalah sebanyak 1.6 juta orang, manakala angka kematian pada 2022 dijangka lebih tinggi.
Angka daripada Our World in Data berdasarkan statistik Universiti Oxford pula merekodkan kematian berkaitan Covid-19 adalah berjumlah 1.2 juta pada 2022.
“Bagi kebanyakan orang, jika anda memberitahu mereka bahawa kematian akibat tibi adalah sama dahsyat dengan Covid-19, mereka tidak akan mempercayai anda.
“Ini kerana kita tidak mempunyai sumber mencukupi untuk melawan tibi berbanding Covid-19,” ujar Wilkinson.
Data terbaharu menunjukkan kadar penyakit tibi di Britain adalah sebanyak 7.8 kes bagi setiap 100,000 orang.
Tibi biasanya menjangkiti paru-paru manusia dan disebabkan oleh sejenis bakteria, Mycobacterium Tuberculosis. Ia merebak menerusi udara apabila pesakit batuk, bersin atau meludah.
Simptom tibi termasuk batuk berpanjangan dan ada masanya mengeluarkan darah, sakit dada, rasa tidak berdaya, keletihan, hilang berat badan, demam dan berpeluh pada waktu malam.
Wabak itu membina kekebalan terhadap beberapa jenis antibiotik yang digunakan boleh merawatnya kerana kebanyakan pesakit dalam komuniti miskin tidak dapat meneruskan pengambilan ubat untuk tempoh minimum enam bulan bagi merawat tibi.
Ini bermaksud tibi akan menjadi semakin kuat dengan rawatan ke atas varian kebal boleh mengambil masa sehingga dua tahun. Hampir satu pertiga daripada pesakit tidak dapat bertahan untuk tempoh tersebut.
Justeru, adalah amat penting untuk membangunkan rawatan lebih pantas yang boleh melawan tibi sebelum mutasinya berkembang dan merebak. – Agensi














