KANGAR – Menderita penyakit diabetis pada usia muda sehingga hampir meragut nyawa membuatkan seorang pemuda mengubah sepenuhnya gaya hidupnya sejak tujuh tahun lalu.
Menurut Iqbar Zulhilmi Othman, 28, dia nyaris kehilangan nyawa apabila berada dalam keadaan kritikal akibat kencing manis selain tekanan darah tinggi ketika menerima rawatan di sebuah hospital ketika usianya baharu 21 tahun.
“Selain gula dan tekanan darah tinggi, darah menjadi pekat menyebabkan keadaan saya pada masa itu tidak begitu baik. Boleh dikatakan 50-50.“Saya hanya mampu mendoakan keajaiban dan
Alhamdulillah, setelah dua hari dirawat di Unit Rawatan Koronari (CCU) Hospital Tuanku Fauziah, keadaan kesihatan saya semakin baik,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Katanya, dia kemudian dipindahkan ke wad biasa selama lima hari sebelum dibenarkan pulang ke rumah.
“Sejak dari itu, saya menjalani kehidupan sebagai pesakit diabetes pada usia muda iaitu 21 tahun dan terpaksa mengambil suntikan insulin.
“Ia merupakan satu pengalaman yang sangat menakutkan, namun menjadi permulaan kepada amalan hidup sihat. Saya perlu menjaga pemakanan serta aktif bersenam,” ujarnya sambil memberitahu ketika itu berat badannya mencecah 111 kilogram (kg).
Menurutnya, dia juga menyertai satu program menurunkan berat badan secara online dan berjaya menurunkan berat badan sebanyak 40 kg dalam tempoh kira-kira enam bulan.
“Saya sebenarnya tidak sangka apabila disahkan sembuh sepenuhnya daripada penyakit diabetes dan kini tidak lagi perlu mengambil insulin,” ujarnya.
Kata Iqbar lagi, sebelum jatuh sakit, dia kerap mengambil minuman manis setiap hari termasuk air berkarbonat dan teh ais buih.
“Bila saya sambung belajar di institusi pengajian tinggi (IPT), saya kerap makan makanan terutama ketika waktu malam,” jelasnya.
















