LANGKAWI – Bahang kemeriahan Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA’23) mula dirasai apabila jet pasukan aerobatik dan pesawat pengangkut tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAL), di sini sejak kelmarin.
Ketibaan pasukan aerobatik Black Eagle T-50 Tentera Udara Republik Korea disambut Panglima Wilayah Udara 1, Mejar Jeneral Datuk Mahadzer Amin.
Turut kelihatan tujuh pesawat August 1st (J-10) milik Tentera Pembebasan Rakyat China dan pasukan aerobatik Jupiter Tentara Nasional Indonesia-Angkatan Udara (TNI-AU) bagi mengesahkan penglibatan dalam pertunjukan udara pada pameran berprestij tersebut.
Pesawat-pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) turut menggegarkan ruang udara Langkawi semalam bagi latihan sebagai persiapan pembukaan LIMA’23. LIMA’23 yang berlangsung selama lima hari akan membuka tirai pada 23 Mei ini.

di Langkawi. – FACEBOOK LIMA 2023
Tinjauan di Jalan Kuarters LTAL di sini mendapati orang ramai terutama penduduk setempat berhimpun di tepi jalan yang terletak bersebelahan landasan LTAL untuk melihat pesawat secara lebih dekat.
Mereka berkumpul di lokasi itu sejak pukul 8 pagi untuk melihat jentera udara yang melakukan latihan penerbangan.
Seorang penduduk, Yusni Fadzli Mat Esoff, 47, berkata, dia datang untuk menyaksikan pesawat menjalani latihan selepas melihat jadual latihan yang dikongsikan di Facebook Pihak Berkuasa Penerbangan Awam.
“Biasanya sewaktu LIMA berlangsung, memang kami akan letak kereta di sini untuk melihat pertunjukan udara kerana lebih mudah. Saya dan keluarga tidak sabar untuk menyaksikan pembukaan LIMA’23 nanti,” katanya.

di Langkawi. – FACEBOOK TUDM
Penjaja, Muhammad Nasri, 20, pula memberitahu, dia datang dari Sungai Petani setiap kali berlangsungnya LIMA untuk menjual baju-T dan beg galas berdekatan kuarters LTAL.
“Tapak meniaga belum dibuka secara rasmi, jadi saya buka meja sementara di sini. Alhamdulillah ramai yang datang melihat latihan dan membelikan baju bertemakan LIMA’23.
“Saya membuka gerai seawal pukul 10 pagi, walaupun tiada latihan semalam (kelmarin) ramai orang sudah berhimpun untuk menantikan kedatangan pesawat tempur,” ujarnya.














