Pepatah Melayu ada mengatakan terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.
Bagi penulis, bukan sahaja terlajak kata, tetapi melakukan sesuatu secara semberono juga memberikan kesan buruk kepada pelakunya.
Lebih-lebih pada zaman teknologi sekarang silap langkah dan apabila dikongsi boleh jadi tular satu Malaysia.
Beberapa hari lepas kecoh dalam media sosial mengenai seorang TikToker yang mempunyai 2.6 juta pengikut memuat naik kandungan yang dianggap menghina pasukan pertahanan negara lebih tepat lagi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Sebelum ini TikToker wanita itu kerap memuat naik kandungan yang berunsurkan lawak, namun menghasilkan content ‘kentut’ di dalam aset milik TLDM dilihat agak melampau.
Perbuatan tersebut bukan sahaja dianggap melawak tidak kena tempat, malah sebagai wanita ia juga memalukan, lebih-lebih lagi video berkenaan dimuat naik dalam media sosial dan menjadi tatapan umum.
Pemilik video berkenaan sudahpun meminta maaf mengenai perbuatannya minggu lepas, namun orang ramai masih tidak berpuas hati dan mahukan sesuatu berbentuk hukuman sebagai pengajaran untuk masyarakat.
Jika diamati kandungan terutama video santai dan diselitkan dengan unsur humor sentiasa mendapat tempat atau win dalam kalangan pengguna media sosial.
Mungkin orang ramai sudah cukup tertekan dengan pelbagai masalah setiap hari. Jadi apabila mempunyai masa terluang untuk melayari media sosial mereka memilih kandungan yang ringan seperti joget dan jenaka untuk menghiburkan diri sendiri.
Sebelum ini pernah tular berita mengenai pengguna media sosial yang mencipta kejutan dengan hanya tidur secara live.
Malah lebih untung lagi mereka boleh ‘buat duit’ dengan tidur, nampak seperti tidak masuk akal, namun itulah realiti yang berlaku dalam media sosial.
Wartawan berhempas pulas membuat liputan di lapangan menghasilkan berita yang baik belum tentu mendapat jumlah tontotan dan tanda suka yang tinggi.
Sebab itu sekarang ramai yang berlumba-lumba menghasilkan content tujuannya untuk mendapatkan Likes (tanda suka) dan view (tontotan) tinggi.
Menurut kajian yang dibuat syarikat pembekal proksi, Proxyrack, Malaysia berada di tempat kedua bagi negara paling banyak menggunakan media sosial di dunia.
Tidak salah jika mahu membuat content lawak, tetapi yang penting kita perlu tahu hadnya. Tidak membuat lawak yang melampaui batas sehingga menghina atau menjatuhkan seseorang atau membuat lawak yang sia-sia.
Bergelar influencer (pempengaruh) dan content creator (pencipta kandungan) juga merupakan satu kerjaya pada masa kini, namun carilah rezeki dengan cara berhemah.
Jadilah individu yang bertanggungjawab kepada ratusan ribu malah jutaan pengikut kita di media sosial, bukannya hari ini buat salah esok minta maaf.














