PUTRAJAYA – Mana-mana golongan influencer kategori bujang yang menjana pendapatan minimum sebanyak RM3,111 sebulan atau RM37,333 setahun layak dikenakan cukai bagi Tahun Taksiran 2022.
Lembaga Hasil Dalam Negeri (HASiL) berkata, meskipun golongan itu meraih pendapatan lumayan menerusi ekonomi gig, namun ia harus mencapai syarat ditetapkan sebelum dikenakan cukai.
“Bagi mereka yang berkahwin dan mempunyai anak serta memilih jenis taksiran berasingan, pendapatan minimum setahun lingkungan RM39,333 hingga RM41,333 atau RM3,278 hingga RM3,444 sebulan.
“Bagi mereka yang berkahwin dan memilih jenis taksiran bersama, pendapatan minimum setahun yang layak dikenakan cukai adalah RM48,000 setahun atau RM4,000 sebulan,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Agensi itu mengulas laporan Kosmo! berhubung golongan influencer mampu menjana pendapatan lumayan di aplikasi TikTok melalui job daripada agensi pengiklanan digital.
Difahamkan, golongan itu dibayar hingga RM1,000 untuk penghasilan satu video dengan syarat mempunyai jumlah tontonan sekitar 100,000 orang.
Bagaimanapun, HASiL berkata, pengenaan cukai boleh berubah tertakluk kepada jumlah pelepasan individu yang dituntut dan rebat cukai layak seperti pelepasan diri, isteri, anak dan lain-lain.
“Sekiranya seseorang meraih amaun pendapatan tertentu dan layak dikenakan cukai, tetapi tidak menunaikannya, mereka boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967,” ujarnya.
Baru-baru ini Kosmo! melaporkan aplikasi TikTok menjadi batu loncatan buat pempengaruh mengecap nikmat kemewahan pada usia muda apabila mampu menjana pendapatan sehingga RM10,000
untuk satu video selain meraih populariti hingga ditawarkan menjadi pelakon.
Kosmo! difahamkan, setiap video yang mendapat jumlah tontonan melebihi 100,000 kali akan menerima bayaran RM1,000 dan mereka yang terlibat dengan trend tersebut biasanya dalam kalangan
golongan berusia antara 20 hingga 35 tahun.
Eksekutif pengiklanan digital dikenali sebagai Xavier Tan berkata, pempengaruh dianggap Key Opinion Leader (KOL) dan mereka dibayar berdasarkan jumlah tontonan serta tier atau tahap masing-masing seperti
berapa ramai pengikut.
Katanya, KOL dikategorikan dalam empat kumpulan termasuk tier S yang menerima bayaran tertinggi sekitar RM10,000 dan biasanya mereka bertaraf selebriti media sosial.
“Tier A akan dibayar RM1,000 jika video mereka mendapat 100,000 kali tontonan, manakala tier B dibayar hingga RM999 dengan tontonan di bawah 100,000 kali,” katanya.
















