fbpx
Gambar hiasan

Skandal di pejabat sampai bercerai-berai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Hubungan di tempat kerja yang pada mulanya dianggap biasa sebenarnya boleh menjadi punca kepada berlakunya kecurangan sehingga mencetuskan hubungan terlarang sesama rakan sekerja.

Kes-kes kecurangan ini bukan hanya melibatkan kaum lelaki daripada pasangan yang sudah berkahwin, malah wanita berstatus isteri orang turut terperangkap dalam situasi ‘bermain kayu tiga’.

Situas ini sekiranya gagal dibendung dari awal bakal merosakkan keharmonian di tempat kerja, selain menjadi punca berlakunya keretakan dalam rumah tangga.

Hal ini diakui sendiri oleh kebanyakan peguam syarie yang mendedahkan bagaimana serius­nya perbuatan curang dalam kalangan pasangan yang telah berkahwin terutamanya melibatkan rakan di tempat kerja.

Sumber rapat Kosmo! yang juga seorang peguam syarie memberitahu, kes-kes tersebut turut menimbulkan keresahan dalam kalangan pengamal guaman yang menyifatkanya sebagai barah sosial baharu apabila semakin ramai pihak pendakwaan serta pembelaan menerima fakta membabitkan kejadian curang pasangan sudah berkahwin.

Lebih membimbangkan kata­nya, apabila ada kalangan pelaku curang itu merupakan penjawat awam, sekali gus menjadi ancaman baharu kepada reputasi dan kredibiliti sistem pentadbiran dalam kerajaan.

“Ini adalah sisi gelap kepada mereka yang mempunyai kerjaya, tidak kira mereka merupakan suami ataupun isteri orang.

“Kebanyakan yang datang kepada kami (peguam syarie) adalah mereka yang mempunyai masalah rumah tangga selepas terjebak dalam hubungan terla­rang dengan rakan sekerja.

“Ada kes turut melibatkan hubungan sulit antara individu berjawatan dengan pekerja bawahan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Tambah sumber, apa yang merisaukan adalah kebanyakan kes yang dikendalikan mempunyai fakta yang sama, iaitu pasa­ngan berstatus isteri dan suami orang melakukan perbuatan terkutuk secara bersembunyi.

Katanya, ini termasuklah ada pasangan curang sanggup me­lakukan maksiat di stor pejabat di tempat kerja.

“Dalam kebanyakan kes, perbuatan jelik itu terbongkar apabila si isteri menemui perbualan mengenai ­kegiatan berkenaan di aplikasi WhatsApp.

“Antara perbualan mereka adalah si lelaki bertanya kepada pe­rempuan mengenai baju tidur yang dipakainya di rumah dan berpesan kepada kekasihnya itu untuk tidak ‘bersama’ dengan suaminya semata-mata kerana dia ingin melakukan perbuatan tersebut di dalam bilik stor pejabat.

“Siang dia akan bersama rakan sepejabat, malam pula giliran suami, begitu juga si lelaki. Ada antara klien terpaksa memfailkan fasakh semata-mata untuk membuktikan perceraian yang berlaku adalah disebabkan perbuatan terkutuk suaminya,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai kes-kes berkenaan, sumber memaklumkan, episod curang itu bermula apabila si wanita atau lelaki sering meluahkan pe­rasaan terutama membabitkan mengenai masalah rumah tangga kepada rakan sekerja.

Jelasnya, ada juga kes di mana si lelaki mendakwa melakukan perbuatan tersebut kerana berasa kesunyian kerana sedang berada dalam hubungan jarak jauh dengan isteri.

“Saya juga hairan mengapa mereka ini memilih suami atau isteri orang untuk mengadu nasib sedangkan perkara itu boleh dikongsikan dengan rakan sejantina atau individu yang lebih sesuai seperti mendapatkan khidmat kaunseling.

“Ada yang mengakui isterinya jauh dan tidak dapat bersama dengannya. Disebabkan itu, lelaki tersebut memilih melakukan hubungan intim dengan rakan sepejabatnya,” katanya.

Lebih menyedihkan kata beliau, suami yang curang itu bukan sahaja tidak menjalankan tanggungjawab sebagai suami, malah turut gagal sebagai seorang bapa apabila tidak memberikan nafkah kepada anak-anak.

Ujar sumber lagi, pihak­nya telah menguruskan pelbagai kes mengenai keretakan rumah tangga berpunca daripada hubungan intim di pejabat.

“Saya sendiri sudah uruskan tiga kes berkaitan kecurangan pasangan berkahwin yang menjadikan stor sebagai lokasi memadu kasih.

“Perkara ini memang membimbangkan sehingga saya sendiri berasa terpanggil untuk berjumpa dengan pihak agensi berkaitan bagi membincangkan isu masalah sosial yang berlaku ini,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN