NAMA DJ Lin bukanlah satu nama asing bagi pendengar dan pencinta radio tanah air.
Mula melibatkan diri dalam arena radio lebih dua dekad lalu pastinya membuatkan jenama DJ Lin itu sendiri mudah diingati dalam kalangan pendengar.
Paling sinonim menerusi segmen popular, Suria Cinta yang menemani malam-malam pendengar dengan suara syahdunya yang ‘mencairkan’, DJ Lin tidak pernah sekalipun jemu menyelami perasaan sang-sang pencinta di corong radio.
Wataknya yang lemah lembut bak ibu mengasuh anak kecil membuatkan figura ini amat disenangi pendengar dan peminat meliputi segenap lapisan pendengar.
Siapa sangka dalam keramahannya melayani pendengar selama lima jam setiap kali ke udara, DJ Lin atau nama sebenarnya Roslinda Abdul Majid menyimpan kemas kisah dukanya tatkala mula bergelar ibu tunggal 17 tahun lalu.
Bersempena sambutan Hari Ibu yang diraikan lusa, DJ Lin dipilih bagi menghiasi muka depan Aura untuk berkongsi kisah perjuangannya sebagai wanita dan ibu tunggal dalam membesarkan dua cahaya matanya.
Berkesempatan bertentang mata dengan penyampai radio kesayangan ramai ini, DJ Lin bercerita kisah pengorbanannya bergelar ibu tunggal selama hampir dua dekad.

Kini, dua anaknya Nureen Aresya dan Nazren Asyran sudah ‘besar panjang’ dengan masing-masing berusia 22 dan 20 tahun.
“Saya berpisah secara rasmi dengan bekas suami pada tahun 2006 dan pada ketika itu kedua-dua anak baru berumur enam dan empat tahun. Bergelar ibu tunggal ketika berusia awal 30-an bukanlah satu perkara mudah bagi wanita seperti saya ketika itu.
“Tapi alhamdulillah, satu kekuatan yang Allah berikan kepada saya bila mana saya jenis orang yang sangat percaya dengan ketentuan Maha Esa,” katanya membuka bicara.
Meneruskan cerita, DJ Lin mengakui bukan mudah untuk membesarkan kedua-dua anak yang ketika itu masih kecil dan langsung tidak tahu menahu apa itu erti perceraian.
Pun begitu, dia bersyukur kerana Allah begitu adil dan banyak membantunya membesarkan anak-anak meskipun terpaksa berlari mengejar kerjaya sebagai penyampai radio yang merupakan periuk nasi hingga ke saat ini.
“Jujur kalau ikutkan, saya sendiri tidak tahu bagaimana cara membesarkan kedua-dua anak ketika itu. Sewaktu saya dilanda dengan krisis rumah tangga, pada masa itu kerjaya saya juga baru bermula.
“Saya tidak malu untuk katakan pada masa itu saya sebenarnya tidak punya banyak masa dengan anak-anak kerana pada awal kerjaya saya lakukan dua kerja serentak.
“Di pagi hari saya sebagai publicist dan jadi pegawai perhubungan awam untuk Suria FM, malam pula saya ke udara menemani pendengar. Ada ketika pejabatlah jadi tempat saya tidur.
“Jadi, bila masa saya cari waktu untuk anak-anak ketika itu? Masa kedua-dua anak banyak bersama Mak Yah iaitu pengasuh sebelah rumah yang bantu tengok dan jagakan mereka berdua,” tuturnya.
Jelas DJ Lin, tahun 2007 hingga 2010 betul-betul banyak menguji kesabaran dan merupakan tahun mencabar bagi permulaan kerjaya penyampai radio yang dicintainya.
Seperkara yang menjadi kekuatan DJ Lin untuk terus berada dalam bidang radio hingga kini, tidak lain tidak bukan sokongan daripada anak-anak dan keluarganya sendiri.
Katanya, dia bersyukur dikurniakan kedua-dua cahaya mata yang sangat memahami dan tidak pernah mengeluh kerana ketiadaan masa yang diberikan seperti ibu bapa lain.
“Kedua-dua anak sayalah sebenarnya penguat semangat hingga saya teguh kuat berdiri sampai ke hari ini. Allahyarham ibu juga insan yang sangat memahami siapa DJ Lin dan sejauh manakah passion yang saya curahkan kepada kerjaya,” katanya.

Ditanya bagaimana dia membahagikan masa antara wanita, ibu dan kerjaya, DJ Lin mengakui kadangkala dia turut tertanya-tanya bagaimana dirinya membahagikannya.
Pun begitu, dek kerana keghairahan, sokongan, minat dan cinta mendalam terhadap radio serta sayang akan satu-satunya kerjaya yang dimiliki, tiada sedikit pun alasan berkaitan masa timbul dan menjadi isu.
Ditebak mengenai imej terbaharu DJ Lin yang menutup aurat dengan bertudung litup dia menyifatkan perkara tersebut sebagai satu bentuk penghijrahan dan impian yang sudah lama dipasang.
Wanita kelahiran Johor Bahru, Johor ini mengakui hatinya kini lebih tenang selepas tampil dengan imej berhijab sejak pulang daripada menunaikan ibadah umrah Mac lalu.
Katanya, selain pulang dari Tanah Suci, kehilangan dua ahli keluarga tercinta dalam tempoh tidak sampai setahun juga antara asbab yang menguatkan lagi keputusannya untuk bertudung sepenuhnya.
“Saya rasa apa yang terjadi dalam kehidupan saya, terutamanya selepas emak meninggal dunia pada Jun tahun lalu dan pemergian abang kandung saya baru-baru ini memang benar-benar membuatkan jiwa saya tersentak.
“Umur saya pun semakin meningkat dan sudah mencecah 48 tahun. Jadi saya rasa mungkin kali ini Allah SWT nak berikan kesedaran agar berubah demi kebaikan,” kata DJ Lin.
Mengakui dirinya semakin selesa mengenakan hijab sepanjang mengerjakan ibadah umrah pada 23 Mac lalu membuka hatinya untuk meneruskan dengan penampilan sebegitu.
“Sebenarnya sudah beberapa kali terfikir untuk menutup aurat sepenuhnya, tetapi entah mengapa lambat untuk saya buat keputusan ini.
“Mungkin Allah beri petunjuk, sepanjang di Mekah saya sangat selesa dan tenang bertudung labuh. Tidak terasa panas meskipun ketika itu Tanah Suci dibanjiri jutaan jemaah dari seluruh dunia.
“Alhamdulillah, Tuhan permudahkan, malah anak-anak pun sangat suka dengan penampilan terbaharu ini, apatah lagi mereka memang sudah lama mendoakan saya untuk berhijab,” ujarnya yang menyatakan arwah ibunya juga ada berpesan agar dirinya menutup aurat dengan bertudung.
Berkongsi sedikit perkembangan kerjaya, DJ Lin bersyukur radio di bawah kendaliannya berjaya mengekalkan tempat ketiga radio berbahasa Melayu di negara ini.
Seperkara lagi katanya, mungkin rezeki selepas pulang daripada umrah, dia sekali lagi terpilih dan dinobatkan sebagai Penyampai Radio Paling Dipercayai oleh Reader’s Digest Trusted Brands buat kali ketiga berturut-turut.
“Sudah pasti anugerah yang diberikan ini sangat besar maknanya dalam kamus perjalanan kerjaya saya selaku penyampai radio berkredibiliti dan dipercayai ramai.
“Tentunya pengiktirafan sedemikian sebagai penghormatan serta penyuntik semangat supaya lebih berdedikasi dalam melaksanakan amanah yang sudah menjadi sebahagian daripada hidup,” katanya yang bakal naik ke pentas menerima anugerah tersebut Jun depan.
Mengakhiri bicara, DJ Lin sebagai seorang wanita dan ibu menyeru agar semua kaum Hawa di negara ini terus membuktikan kekuatan yang dimiliki dan jangan sesekali tunduk mengalah dengan setiap inci ujian yang hadir menimpa.
Secara peribadi, dia yang juga seorang ibu bangga kerana mampu membesarkan kedua-dua anaknya tanpa insan bergelar suami di sisi sekali gus menyifatkan wanita memang dilahirkan dengan kekuatan yang tersendiri.
















