VIENNA – Bintang tenis No.1 dunia, Novak Djokovic dikejutkan apabila tersingkir pada Terbuka Vienna selepas gagal mengekang asakan pemain Itali, Lorenzi Sonego pada perlawanan suku akhir semalam.
Ia merupakan kekalahan terburuk buat jaguh Serbia itu apabila tewas dengan kekalahan straight set 6-2,6-1 oleh pemain ranking No. 42 dunia tersebut.
Bagaimanapun, Djokovic menegaskan, meskipun kecewa, namun dia sudah mencapai matlamatnya apabila menamatkan musim ini sebagai pemain nombor satu dunia dan menyamai rekod enam kali sebagai pemain menduduki ranking pertama.
“Meraih gelaran No. 1 dunia pada akhir tahun ini sedikit sebanyak memberi kesan kepada saya.
“Saya sudah melakukan terbaik dan berjaya berada di ranking pertama dunia adalah perkara paling mustahak ketika ini. Saya akur dengan kekalahan ini.
“Saya akan berusaha dan melakukan persiapan untuk mencari penamat terbaik pada aksi final ATP di London nanti,” kata Djokovic.
Hasil keputusan tersebut, Sonego akan berdepan Dan Evans pada aksi separuh akhir selepas jaguh Britain tersebut menewaskan Grigor Dimitrov 7-6 (7-3), 4-6, 6-2. – AGENSI